PASIR PUTEH - Sepasang suami isteri di Kampung Sungai Durian, Selising, dekat sini, buntu memikirkan nasib anak bongsu mereka yang tidak memiliki sijil kelahiran dan gagal didaftarkan untuk memasuki tahun satu sesi persekolahan 2016.

Mahalim Awang, 61, dan isterinya, Mek Yah Harun, 46, berharap ada pihak yang dapat membantu mereka menyelesaikan masalah itu kerana dia mahu anak bongsunya, Nur Rania Qallisya, 6, menikmati kemudahan sepertimana kanak-kanak lain.

Mahalim berkata, Nur Rania Qallisya dilahirkan pada jam 8.12 pagi, 11 Oktober 2009 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) Kota Bharu.

"Selepas seminggu anak bongsu saya dilahirkan, saya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mohon sijil kelahiran, tetapi tak berjaya kerana tak memiliki sijil nikah.

"Saya akui kesilapan saya kerana gagal memenuhi syarat, iaitu tak memiliki sijil pernikahan baharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK)," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, lapan anak yang lain tidak menghadapi masalah dan kesemuanya mempunyai sijil kelahiran serta MyKad.

Katanya, selepas anak kelapan mencecah usia 7 tahun, mereka dikurniakan seorang anak lagi dalam jarak masa terlalu lama dan keadaan itu telah menimbulkan keraguan kepada pegawai bertugas di JPN yang meminta sijil nikah sebagai sokongan serta pengesahan.

"Kegagalan mendapatkan sijil kelahiran menyebabkan Nur Rania Qallisya belum disahkan sebagai warganegara Malaysia sepertimana adik-beradiknya yang lain.

"Saya harap pihak berkenaan termasuk JPN dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan membantu dalam perkara ini kerana saya mahu daftarkan Nur Rania Qallisya ke Sekolah Kebangsaan Banggol Pa' Esah," katanya.

Mahalim memberitahu, dia masih menyimpan dengan baik segala dokumen kelahiran anak bongsunya itu termasuk borang kebenaran keluar Hospital Tengku Anis dan Rekod Kelahiran Ibu sebagai bukti sokongan bagi menyelesaikan masalah itu.

"Kami sudah berusaha mendapatkan sijil nikah baharu sejak setahun lalu kerana ketika berkahwin dulu, kami hanya ada surat pendaftaran perkahwinan. Saya harap ada pihak yang dapat membantu memudahkan segara urusan ini," katanya.

Tambah Mahalim, dia sangat bersyukur sekiranya Nur Rania Qallisya dapat didaftarkan ke sekolah sementara menunggu untuk memiliki sijil kelahiran.