PASIR PUTEH - Seorang doktor yang bertugas di Hospital Machang maut apabila kereta yang dipandunya terbabas di Kampung Alor Hijau, Selising dekat sini, pagi tadi.

Mangsa, Mohd Faizal Rozali, 34, yang memandu kereta Mitshubishi Lancer meninggal dunia di tempat kejadian selepas keretanya terbabas dan merempuh pokok di Jalan Selising-Tok Bok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Elmy Azhar Mustofar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.12 pagi.

Katanya, bomba dengan kekuatan enam anggota mengambil masa 32 minit untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya.

"Anggota polis membantu mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.