BACHOK - Bachok akan muncul sebagai bandar ilmu dan pelancongan terkenal di Kelantan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata keyakinan tersebut berdasarkan kepada kepesatan pembangunan bidang pendidikan di jajahan itu bermula dengan pembinaan kampus induk Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

"Beberapa lagi kampus cawangan universiti akan wujud di jajahan ini termasuk kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Pusat Penyelidikan Maritim, Universiti Malaya dan menaikkan taraf Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) sebagai kolej universiti tidak lama lagi.

"Dengan terbinanya empat pusat pendidikan bertaraf universiti ini, kita yakin jajahan Bachok akan muncul bandar ilmu dan pelancongan terkenal di Kelantan dalam tempoh lima tahun lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya KIST di Kampung Telong, Kandis, di sini, hari ini. Hadir sama, Presiden Kumpulan Holding KIST, Muhamad Zamly Abdullah dan Naibnya, Roomai Nor Ali.

Awang Adek berkata KIST yang kini mempunyai 5,000 pelajar dijangka dapat meningkatkan pengambilan antara 8,000 sehingga 10,000 apabila kampus baru yang akan dibina siap.

Katanya semua projek yang dirancang itu akan segera menjadi kenyataan jika rakyat meberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Awang Adek yang juga Ketua Umno Bahagian Bacok, berkata suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan setiap pembangunan yang dirancang akan cepat menjadi kenyataan jika kerajaan pusat dan negeri mempunyai aliran politik yang sama.

"Oleh itu, rakyat perlu membuat pemilihan yang bijak dalam menghadapi suasana pilihan raya ini demi masa depan mereka," katanya. - Bernama