Edisi
skuad

30 pendidik sertai kursus kejurulatihan

KOTA BHARU – Seramai 30 warga pendidik negeri ini, terpilih menyertai Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Pra Lesen C FAM/MSSK selama empat hari bermula 19 November lalu dan berakhir hari ini.

Kursus yang dianjurkan oleh Unit Sukan, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan itu berlangsung dalam dua sesi, iaitu teori sementara sesi praktikal dikendalikan oleh Instruktor FAM

yang berpengalaman, Abdul Rahim Ahmad berlangsung di Mini Stadium Kijang Emas, Kompleks Sukan Sekolah-Sekolah, Wakaf Mek Zainab di sini.

Penyelia Pelajaran Kanan, Unit Sukan JPN Kelantan, Nik Ab Rahman Nik Ismail berkata, kursus tersebut diadakan bertujuan melahirkan lebih ramai pendidik yang mempunyai kelayakan dalam melatih pasukan bola sepak sekolah masing-masing.

“Semua guru yang terlibat ini, dipilih daripada seluruh negeri ini.

“Ini merupakan sebahagian daripada perancangan pihak kita dalam melahirkan lebih ramai jurulatih bola sepak yang mempunyai sijil kelayakan asas bermula pada tahun depan.

“Ini baru permulaan (Pra Lesen C) sebelum mereka dibenarkan menduduki Kursus kejurulatihan Lesen C sepenuhnya pada masa akan datang.

“Saya berharap mereka memanfaatkan sepenuhnya kursus selama empat hari ini.

“Mereka didedahkan dengan pelbagai aspek teori termasuk undang-undang terbaru dalam bola sepak, sains sukan selain pendedahan mengenai jenis-jenis kecederaan yang terdapat dalam sukan bola sepak,” katanya.

Bagi Abdul Rahim yang juga Ketua Jurulatih Remaja Negeri berkata, sudah tiba masanya semua jurulatih mempunyai sekurang-kurangnya Sijil Kejurulatihan Kelas C bagi mengendalikan pasukan bola sepak di peringkat daerah masing-masing.

“Asasnya cukup mudah, kita mahu setiap jurulatih yang membimbing pasukan bola sepak sekolah masing-masing mempunyai kelayakan.

“Bukan sahaja sukan bola sepak, setiap jurulatih bagi sukan-sukan lain pun sebenarnya memerlukan sijil kelayakan yang bagi melayakkan mereka melatih pasukan masing-masing.

“Rata-rata yang menyertai kursus ini berumur sekitar 34 hingga 35 tahun. Mungkin dalam masa dua atau tiga tahun lagi, mereka sudah cukup ilmu dan berpeluang mendapatkan Lesen Kejurulatihan Kelas C pula.

“Mungkin daripada faktor masa itu sudah dikira sedikit terlewat tetapi apa yang boleh saya katakan masih belum terlambat lagi.

“Ketika saya membimbing pasukan Liga Perdana Kelantan muncul juara Liga Perdana Dua pada tahun 2000 dulu, saya berumur 40 tahun dan sudah pun memiliki Lesen Kejurulatihan Kelas A,” katanya.