PONTIAN - Berita tular di media sosial mengenai kehadiran Tunku Mahkota Johor ke Pasaraya Econsave Pontian adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, berita berkenaan ditularkan individu tidak bertanggungjawab.

“Saya nasihat masyarakat supaya tidak mudah percaya dgn berita yg diviralkan dan rujuk kepada pihak berwajib mengesahkan sesuatu berita yang telah diviralkan terlebih dahulu.

“Berkenaan kesesakan aliran trafik dan pihak polis telah ambil tindakan dgn mengaturkan anggota MPV dan trafik untuk mengawal aliran trafik dan memaklumkan kepada masyarakat yg berkumpul di pasaraya Econsave supaya bersurai,” katanya.

Sementara itu, tiada sebarang laporan kekacauan yang dibuat ketika berlangsungnya aktiviti jualan di pasaraya Aeon Tebrau City, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Berita palsu TMJ belanja orang Pontian]

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, tujuan pihaknya menempatkan anggota di sana hanya untuk mengawal keadaan dan bukannya terdapat sebarang perkara yang tidak diingini.

“Kita tidak menerima sebarang masalah, tiada laporan dan perkara tidak diingini berlaku semasa pengunjung membeli belah di pusat beli-belah berkenaan.

“Memang polis ada semalam, tapi itu cuma untuk tujuan pengawasan, kita tugaskan seramai 25 anggota untuk berkawal di situ dari jam 6 petang hingga jam 1 pagi,” katanya ketika ditemui, di sini, sebentar tadi.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan kejutan beramah mesra bersama rakyat di pusat beli-belah berkenaan selain bermurah hati membayar segala perbelanjaan mereka.