JOHOR BAHARU - Lapan tahun lalu, Khairulbariyah Abdul Aziz, 47, sering mengalirkan air mata sedih bila mengenangkan nasib anaknya Muhammad Khairulimran Adam yang cacat penglihatan.
  
Hari ini, air mata itu mengalir lagi, bukan sedih tetapi air mata kegembiraan apabila anaknya itu mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
   
"Kami sedar Imran mengalami masalah penglihatan ketika berusia lima tahun apabila dia kerap langgar barang di rumah. Ini kemudian disahkan oleh doktor," kata suri rumah itu.
   
Katanya, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat anak yang serba kekurangan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
   
"Saya gembira apa yang saya terapkan kepadanya dilakukan dengan baik, kerana kerap berpesan kecacatan yang ada bukan alasan untuk tidak berjaya, dan hari ini saya berbangga dengannya dan saya harap beliau terus cemerlang kerana perjalanannya masih jauh," kata Khairulbariyah.

Muhammad Khairulimran dari Sekolah Kebangsaan Kempas, turut dinobatkan pelajar cemerlang kategori calon berkeperluan khas.
   
Beliau yang bercita-cita menjadi chef mengakui penglihatan yang kabur di sebelah kanan dan buta di sebelah kiri tidak menjadi penghalang untuk dia mencintai ilmu.
   
"Memang sukar hendak membaca. Saya menggunakan kanta dan bukan braile, saya perlu baca berulang kali dan hanya boleh melihat sebelah mata," katanya.
   
Ong Mee Nyock, 49, pula amat berpuas hati apabila penat lelahnya selama ini berbalas dengan kejayaan anak bongsunya Wong Yao Zhong, 12, yang mendapat keputusan 5B, 2C.
   
"Sejak dari hari pertama dia bersekolah saya akan menghantar dan datang ketika rehat untuk urus Yao Zhong kerana dia tidak mampu urus dirinya sendiri khususnya untuk ke tandas.

Yao Zhong dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang Dua mengalami sakit tulang belakang sejak lahir dan memerlukan sokongan.
   
"Dia seorang yang berdikari dan saya harap dia mampu urus dirinya dan menjadi orang yang berjaya," kata ibunya.
   
Sementara itu, Haffizal Hamdan, 12, dari Sekolah Pengkalan Tereh, Kluang menjadi pelajar Orang Asli cemerlang dengan keputusan 4A, 1B.
   
Beliau yang bercita-cita menjadi guru matematik berkata akan belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan anak Orang Asli juga mampu berjaya. - Bernama