PONTIAN - Kira-kira 2,000 warga Indonesia menggunakan laluan Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk kembali semula ke negara ini setelah bercuti panjang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Arus kepulangan warga asing mula dirasai sejak 9 hingga 12 Syawal apabila pihak pengurusan pengendali perkhidmatan feri iaitu Penaga Timur Malaysia Sdn Bhd terpaksa menambah perjalanan feri berbanding hari biasa.

Pengarahnya, Siti Hajar Othman berkata, urusan perjalanan dari Kukup ke Tanjung Balai di Kepulauan Riau, Indonesia menggunakan perkhidmatan feri bermula seawal jam 8.45 pagi dan berakhir pada 5.30 petang.

Menurutnya, setiap perjalanan mengambil masa kira-kira 50 minit untuk sampai ke Tanjung Balai dengan jumlah penumpang yang mampu dibawa setiap feri kira-kira 100 hingga 160 orang.

Meskipun bilangan warga asing bertambah sekali ganda, namun tidak berlaku sebarang kesesakan di terminal.

Ini kerana, bilangan perjalanan feri dari terminal ditambah setiap 45 minit ke Tanjung Balai Indonesia sejak Khamis lalu.

“Pihak syarikat telah bersedia menerima pertambahan warga asing yang menggunakan perkhidmatan feri untuk kembali semula ke negara ini, di mana hari puncak bermula sejak Khamis lalu sehingga Ahad (semalam),” katanya.

Kukup jadi pilihan

Siti Hajar berkata, warga Indonesia yang menggunakan laluan Terminal Feri Kukup bekerja di Johor Bahru, Pontian, Pasir Gudang dan beberapa daerah lain.

Katanya, ada juga mereka yang bekerja di Kuala Lumpur menggunakan laluan Terminal Feri Kukup untuk pulang ke kampung halaman kerana jarak perjalanan feri ke Tanjung Balai lebih dekat.

“Walaupun di Johor mempunyai beberapa pintu keluar melalui jalan laut, namun Terminal Feri Antarabangsa Kukup tetap menjadi tumpuan pekerja asing untuk pulang ke kampung masing-masing.

“Ini memandangkan Tanjung Balai merupakan destinasi yang menghubungkan pulau-pulau berhampiran seperti Tanjung Batu, Pulau Belatik, Selat Panjang, Bengkalis, Tanjung Samak dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, kesibukan dialami di terminal feri ketika warga Indonesia pulang semula ke negara ini hampir sama seperti ketika mereka mahu pulang beraya sebelum Syawal.

“Seminggu sebelum Syawal ramai warga Indonesia pulang beraya atau lebih dikenali sebagai 'mudek' menggunakan laluan Terminal Feri Kukup.

“Situasi kesibukan yang sama dialami selepas hampir dua minggu Syawal, di mana warga Indonesia yang pulang beraya kembali ke negara ini untuk bekerja semula,” katanya.

Jelasnya, sejak Khamis lalu, jumlah perjalanan feri ditingkatkan kepada 12 hingga 16 perjalanan berbanding hanya lapan perjalanan pada hari biasa.

“Kebanyakan penumpang di sini sudah biasa dengan perkhidmatan feri di sini, mereka tak perlu menunggu lama,” katanya.

Tegasnya, sebelum perjalanan dimulakan, pihak jabatan laut akan melakukan pemantauan terlebih dahulu bagi memastikan kesesuaian cuaca supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

 'Syukur dapat kembali semula ke negara ini'

Warga asing yang ditemui akui gembira kerana dapat menyambut lebaran di kampung halaman masing-masing dan berkongsi rezeki yang dicari di negara ini bersama ahli keluarga di Indonesia.

Kesempatan cuti yang diberikan memberi mereka peluang bertemu ahli keluarga dan saudara-mara.

Sulastri Ahadi, 45, yang bekerja di Johor Bahru berkata, dia pulang ke Tanjung Batu untuk bertemu anak dan kedua ibu bapanya bagi bersama-sama menyambut Aidilfitri.

“Saya bersyukur dapat kembali semula ke negara ini untuk mencari rezeki buat keluarga di kampung halaman.

“Terminal Feri Kukup menjadi pilihan kerana mudah untuk meneruskan perjalanan ke Tanjung Batu melalui terminal di Tanjung Balai dan akan sampai ke rumah saya pada hari yang sama,” katanya.

Bagi Abu Bakar, 40, pula, dia sudah biasa menggunakan perkhidmatan feri dari Terminal Feri Antarabangsa Kukup untuk pulang ke Tanjung Indonesia.

 “Saya akan menghabiskan cuti Aidilfitri selama dua minggu bersama keluarga, sebelum ke Pontian dan bekerja semula seperti biasa,” katanya.