JOHOR BAHRU - Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) Johor yakin siri jelajah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ke beberapa daerah di negeri ini mampu memulihkan keadaan politik dan keseimbangan parti Umno.

Pengerusinya, Mohd Solihan Badri berkata, objektif utama jelajah diadakan untuk menuntut kebenaran menerusi perjumpaan dengan beberapa ahli Umno dari peringkat akar umbi.

“Beberapa usul telah dijadikan nadi bagi menggerakkan siri jelajah ini, sekali gus memberi peluang kepada beberapa bekas pimpinan tertinggi Umno untuk menyuarakan punca sebenar kepada kami ahli akar umbi Umno," katanya ketika ditemui semasa program Santai bersama Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir di Plaza Sentosa, di sini, Isnin lalu.

Beliau berkata, ia juga sebagai menyahut seruan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berpesan supaya suara di peringkat akar umbi tidak dihalang oleh mana-mana pihak dan memastikan Umno Johor sentiasa luhur dan terpelihara.

Sementara itu, Mukhriz berkata, pertemuan itu salah satu langkah paling berkesan bagi mengembalikan semula kepercayaan ahli Umno terhadap dirinya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu tiba kira-kira jam 5.15 petang dan disambut ratusan penyokong dan ahli Umno.

Lebih 30 ketua cawangan dan beberapa ahli jawatankuasa Umno bahagian turut hadir memberikan sokongan menerusi sesi ramah mesra yang berlangsung selama lebih tiga jam itu.