JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan memulakan pendengaran anugerah bagi pengambilan tanah minggu depan untuk penduduk kampung yang terjejas oleh projek Pembangunan Bersepadu Kilang Penapis dan Petrokimia (RAPID) dan Terminal Petroleum Air Dalam Bebas Pengerang.   
   
Kedua-dua projek bernilai berbilion ringgit itu terletak di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).
   
Menyatakan demikian, Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata: "Pendengaran awam dari 3-14 Sept itu membolehkan penduduk kampung mengemukakan kes berhubung pampasan bagi tanah dan harta mereka yang diambil kerajaan.
    
"Pampasan yang ditawarkan akan berasaskan penilaian yang dikendali oleh Jabatan Perkhidmatan Penilaian dan Harta berasaskan harga pasaran semasa" katanya.
   
Dalam satu kenyataan, Abdul Ghani berkata pampasan dalam bentuk wang tunai itu tidak akan diputuskan dengan sewenangnya oleh kerajaan.
   
Menurut beliau, kerajaan negeri juga akan menawarkan skim khas memiliki rumah di kawasan penempatan baru kepada penduduk kampung yang rumah mereka terjejas. - Bernama