JOHOR BAHRU - Lima anakanda Sultan Johor mengetuai senarai 404 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke-54 hari ini.

Puteri tunggal baginda Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim dikurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DKI).

Turut menerima anugerah DKI ialah putera baginda, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Pada istiadat penganugerahan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, tiga individu menerima Darjah Mahkota Yang Amat Mulia Pangkat Kedua Datuk Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Mereka ialah Pengarah Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Brig.Jen. Effendi Ab Karim, Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Shariff dan Ahli Penasihat Jumaah Majlis Diraja Johor, Daing A Malek Daing A Rahaman.

Seramai 16 penerima dianugerahkan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga Setia Mahkota Johor (SMJ) iaitu Pegawai Kewangan Johor, Marsan Kassim, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (II) Pengurusan, Norizan Kulob, Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Johor Baharu, Burhan Amin.

Turut menerima SMJ ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri(Pembangunan) dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi negeri Elias Hasran, 10 Pegawai Daerah iaitu Ismail Karim (Kota Tinggi), Abdul Karim Abu Bakar (Kluang), Abdul Rahman Mohamed Dewam (Muar).

Abdul Wahab Ridwan (Batu Pahat), Muji Salimon (Pontian), Kamarudin Abdullah (Kulai Jaya), Amran Abdul Rahman (Johor Baharu), Mohd Nasir Abdul Salam (Mersing), Abdul Rahim Nin (Segamat), Ab Han Ramin (Ledang), Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Johor, Chong Chee Han dan Ali Ismail dari Istana Pasir Pelangi.

Seramai 28 orang menerima Pingat Kerana Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), 261 orang menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PISS II) manakala 91 orang menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (PISS III). - Bernama