Bagaikan sebuah gedung kain, Bazar Kota Tinggi atau lebih dikenali dengan nama Mini Kelantan yang terletak di tengahtengah bandar Kota Tinggi di sini menjadi pilihan pengunjung terutamanya pada hujung minggu dan musim   perayaan.

Bazar berkenaan yang menempatkan kira-kira 100 lot gerai itu turut menjual pelbagai barangan perhiasan diri, bunga hiasan selain menggamit tumpuan pengunjung dengan lambakan tekstilnya. Salah seorang peniaga di situ, Ramlah Harun, 49, berkata, bazar itu menjadi tumpuan ramai kerana ia menjual pelbagai barangan terutamanya tekstil dari Terengganu, Kelantan, China, Kemboja, Vietnam dan Korea Selatan dengan fesyen terbaru pada harga  sangat murah berbanding di daerah lain.

“Bazar Kota Tinggi ini sejak dulu lagi menjadi tumpuan pengunjung luar terutamanya Singapura untuk membeli-belah di sini. “Malah saya difahamkan nama Mini Kelantan yang diperoleh ini juga diberi oleh pengunjung dari Singapura kerana mereka mendapati kebanyakan pengusaha di sini berasal dari Kelantan,” katanya.

Ramlah yang memulakan perniagaan sejak tahun 1996 bersama suaminya itu menjual barangan seperti songkok, capal dan barangan serbaneka. Sementara itu, bagi Rahimah Ismail, 38, yang menjual kain ela, baju kurung dan kain  tudung sentiasa menjual barangan tekstil mengikut fesyen terkini.

“Selain menawarkan harga yang berpatutan, kita juga sentiasa menghidangkan fesyen terkini buat pembeli, malah jenis kain yang digunakan juga turut selesa dipakai pengguna. “Kedai kami juga sering menjadi tumpuan pengunjung  terutamanya pada bulan puasa dan apabila tiba musim perayaan,” katanya.

Bagi Mohammad Masnina Ain Ibrahim, 34, dia pula menawarkan kain songket tenun dan kain batik yang didatangkan khas dari Terengganu. Menurut bapa kepada dua anak itu, dia memulakan perniagaan di situ sejak 2008. “Kesemua  barangan tekstil seperti kain songket, batik dan sutera dibawa khas dari Terengganu.

Selain itu saya juga turut menjual jubah dan kurta untuk pakaian lelaki,” katanya. Bazar yang terletak bersebelahan Terminal Bas Tun Seri Lanang itu juga menjadi persinggahan orang awam yang menggunakan transit di situ.

Malah terdapat beberapa kemudahan lain buat pengunjung, antaranya surau untuk bersolat dan tempat meletak kenderaan. Bagi pengunjung yang keletihan selepas puas berjalan di bazar tersebut, mereka juga boleh mengisi perut  dan menikmati juadah nasi padang serta pelbagai hidangan makanan di enam restoran Pilihan baju yang pelbagai. berhampiran.