PASIR GUDANG – Penduduk di Jalan Selasih Taman Pasir Putih, di sini membantah pelan asal untuk pembangunan perumahan sekitar kediaman diubah kepada lot komersial industri.

Wakil penduduk, Rafee Abdullah, 40, mendakwa, pada awalnya, kawasan kurang 50 meter dari kediaman penduduk itu bakal dibangunkan dengan pelbagai kemudahan asas.

“Sepatutnya pihak bertanggungjawab berbincang dengan kami mengenai perubahan pada pelan asal bukannya membiarkan kami dibelenggu dengan tanda tanya,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Rafee berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan tandatangan daripada penduduk untuk membantah kawasan itu dengan lot industri.

“Kita akan kumpulkan tandatangan daripada penduduk dan menyerahkan kepada Adun Tiram, Datuk Maulizan Bujang, pemaju dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

“Kita tidak bersetuju dengan projek ini. Kita minta kekalkan kepada pelan asal untuk pembangunan perumahan,” katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Taman Pasir Putih.

Seorang lagi penduduk, Abdul Yatim Ibrahim, 45, berkata, kawasan yang terlalu hampir dengan kediaman penduduk tidak wajar dibangunkan dengan kawasan industri kerana boleh menjejaskan keselamatan penduduk.

Menurutnya, kehidupan mereka di kawasan itu selama ini aman dan selesa tanpa sebarang gangguan, tetapi kini mula dihimpit kebimbangan.

“Kami mula tidak aman apabila dimaklumkan bakal dibangunkan kilang berhampiran kediaman kami kerana memikirkan kesan pada jangka masa panjang sama ada dari segi kualiti udara dan keselamatan.

“Selama ini, anak-anak kami bebas bergerak di sekitar kediaman, tapi kami bimbang apabila kilang dibangunkan, kawasan kami mula dibanjiri warga asing,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPPG, On Jabbar@ Jaafar berkata, penduduk salah faham dengan graf pengubahan rancangan tempatan yang dipamerkan kerana bimbang kawasan itu dibangunkan dengan industri berat.

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan wakil penduduk minggu depan untuk menjelaskan status sebenar industri yang bakal dibangunkan di kawasan itu.

“Kawasan itu akan dibangunkan dengan lot industri ringan berbentuk industri kecil dan sederhana (IKS) bukannya industri berat yang boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk.

“Kita minta penduduk jangan salah faham dengan perkara ini dan kita sedia untuk berbincang untuk memberikan penjelasan berhubung isu itu,” katanya.