NUSAJAYA - Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) akan mengumumkan pelaburan baharu berasaskan penggunaan sumber daripada industri kelapa sawit pada suku pertama tahun hadapan.

Ketua Pegawai Operasinya, Razwin Sulairee Hasnan Termizi berkata, setakat ini, tiga negeri dikenal pasti untuk menjayakan pembangunan pelaburan tersebut.

Menurutnya, negeri berkenaan adalah Johor, Pahang dan Sabah kerana masing-masing kawasan pengeluar utama kelapa sawit negara.

“Satu pelaburan baharu berhubung pembangunan bahan kimia baharu berasaskan bahan sawit akan diumumkan syarikat usaha sama kami iaitu Malaysian Bio-XCell Sdn Bhd (Bio-XCell) sebuah syarikat usaha sama antara BiotechCorp dan UEM Sunrise.

“Sekarang, ia (pelaburan baharu) dalam peringkat akhir untuk memuktamadkan reka bentuk dan akan diumumkan pada suku pertama tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri kempen kerjaya Purple [email protected] Malaysia 2015 di Taman Bioteknologi Bio-XCell, di sini, semalam.

Razwin Sulairee berkata, pembangunan bio-diesel di negara ini bukan lagi di peringkat kajian kerana ia sudah mula dibangunkan ke peringkat penghasilan produk baharu dan bagi BiotechCorp sasaran utama masa kini adalah untuk menghasilkan bahan kimia bagi menggantikan sumber petroleum.

“Bagi Johor, ia berada di posisi yang baik sebagai antara negeri terbesar memiliki ladang sawit selain bahan sokongan yang mencukupi untuk mengaplikasikan bio-teknologi menggunakan kelapa sawit untuk diproses menjadi produk bio-teknologi," katanya.