BATU PAHAT - “Niat saya jual air ni bukannya apa, tapi sambil berniaga sambil bersedekah, sebab tulah saya tak menaikkan harga jualannya sejak tujuh tahun. Ia tetap RM1 untuk sebungkus,” kata Norazly Ahmad, 32.

Norazly atau nama gelarannya Azlee menjual pelbagai jenis air di Bazar Ramadan Tapak Pesta, di sini dikenali penduduk tempatan dengan gerainya yang digelar sebagai ‘Air Abang Sado’

Menurut Norazly, gelaran itu diberikan rakannya dan kini ia menjadi satu jenama buatnya serta sebutan dalam kalangan penduduk.

“Sebelum ni saya jual tiga jenis air, tapi sekarang dah ada lebih 10 jenis termasuklah yang terbaru ‘Air Green Tea Sado’ yang menjadi rebutan pelanggan.

“Ada pelanggan dan peniaga lain tanya saya, ada untung ke jual murah macam ni? RM1 sebungkus, saya jawab, Alhamdulillah adalah sikit-sikit untungnya.

“Pada saya berniaga ni bukanlah untuk cari untung yang banyak, tapi cukuplah dengan keuntungan yang ada, kerana saya minat berniaga selain niat saya untuk bantu mereka yang kurang mampu. Nak bersedekah banyak-banyak, saya sendiri pun bukanlah orang senang,” katanya.

Tambahnya, walaupun ada peniaga lain yang menyuruhnya menaikkan harga jualan, tapi dengan niatnya untuk bersedekah, dia tetap menjualnya RM1.