JOHOR BAHRU – Kerancakan pembangunan Iskandar Malaysia turut mendorong golongan profesional dari seluruh negara berhijrah untuk bekerja dan menetap di wilayah itu.

Naib Presiden Ekosistem Perniagaan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), Prakash Nagarajan berkata, trend ini disebabkan kemasukan pelabur dari dalam dan luar negara ke Iskandar Malaysia sejak wilayah pembangunan ekonomi itu diperkenalkan pada 2006.

“Golongan profesional itu khususnya dari Kuala Lumpur telah memilih bekerja di Iskandar Malaysia kerana perbezaan tangga gaji yang diterima antara Kuala Lumpur dan Iskandar Malaysia tidak terlalu banyak.

“Malah, kita turut mengadakan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak pihak berhijrah, sekali gus mencurahkan tenaga mereka dan bersama bangunkan Iskandar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Irda dan Kolej Antarabangsa Crescendo yang diadakan di Hotel Amari, di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, Prakash mewakili Irda dan Kolej Antarabangsa Crescendo diwakili ketua eksekutifnya, Fang Kim Hui.

Mengulas lanjut tentang MoU berkenaan, Prakash berkata, ia dijalankan selama tiga tahun bagi menyediakan lebih ramai pekerja mahir, sekali gus memperkasa peluang pekerjaan.

Sementara itu, Kim Hui berkata, beliau menyasarkan kerjasama melibatkan 100 pelajar kolej berkenaan dalam tahun ini.