Walaupun penggunaan teknologi pembinaan bangunan menggunakan kayu berlamina glu atau bersalut perekat atau Glulam (Glued Laminated Timber) telah lama dibangunkan di negara maju, namun penggunaan kaedah itu masih  belum dikomersialkan secara meluas khususnya dalam industri pembinaan struktur tempatan.

Menyedari kelebihan produk yang mempunyai pasaran domestik ini, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi agensinya Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) mengambil langkah drastik melalui projek  bangunan ikonik pertama di dunia mengaplikasikan Glulam daripada kayu keras di Malaysia.

Dikenali sebagai Galeri Glulam, ia dibina di atas tanah milik MTIB, dengan keluasan 4.9 ekar di Tampoi, Johor dengan kos RM24.061 juta bagi memenuhi konsep reka bentuk yang bercirikan bangunan ikonik Glulam.

Bangunan tersebut yang siap pada Disember tahun lalu, dijangka bakal menjadi sebagai sebuah pusat untuk menggalakkan penggunaan Glulam keluaran tempatan dalam pembinaan bangunan, rumah dan perabot selain mempelopori ciri-ciri keunikan aplikasi inovasi kejuruteraan kayu dengan penggunaan produk Glulam sebagai struktur utama yang menggunakan kayu keras tempatan.

Ia juga bertujuan untuk menjadi pusat rujukan bagi pakar profesional seperti arkitek, jurutera, kontraktor serta semua lapisan pengguna termasuk agensi kerajaan dan swasta termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan  Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan yang lain Langkah ini diharapkan dapat memberikan keyakinan dan galakan kepada arkitek, jurutera, kontraktor serta  pemaju bagi mengaplikasikan glulam dalam sektor pembinaan Glulam.

Glulam merupakan produk kayu struktural yang dihasilkan dengan merekatkan kayu gergaji yang digred di bawah kawalan kualiti pengeluaran yang ketat. Gabungan rekatan kayu tersebut, menghasilkan kayu struktur berdimensi besar dan  panjang, yang bersaiz tepat dan sangat kuat.

Laminasi boleh ditanggam jejari untuk menghasilkan komponen Glulam yang mempunyai pelbagai saiz dan panjang serta boleh di lentur untuk memberikan fleksibiliti dalam reka bentuk.


Ciri-ciri reka bentuk:

Ketua MTIB Negeri Johor, Abdul Rafa Tan berkata, projek ini juga melambangkan inovasi kejuruteraan kayu dengan teknologi glulam sebagai struktur binaan bangunan yang pertama berkonsepkan ’Iconic Timber Building’ berbentuk  dedaunan yang bertindih.

Menurutnya, bangunan galeri ini terdiri daripada tiga ruang pameran yang dibentuk dari 39 rangka portal yang selari (parallel portal frames) dari Glulam menggunakan kayu Resak dan Keruing bersaiz; 150 milimeter (mm) lebar dan  700 mm tebal.

”Struktur ini disambung menggunakan teknologi sambungan yang baru iaitu ’glued-in steel rods, bolted and welded to steel brackets and steel plates’ yang dipasang di kilang dan di tapak pembinaan. Bumbung galeri ini pada mulanya  direkabentuk menggunakan kepingan keluli bersalut (coated metal sheet).

”Walau bagaimana pun, ianya telah ditukar kepada bahan yang lebih nilai estetik iaitu ’Belian shingles’. Pertukaran ini adalah selari dengan falsafah projek sebagai bangunan ikonik. ”Dianggarkan lebih 350,000 keping Belian Shingles  meliputi ketiga-tiga bumbung dewan bangunan dengan saiz berukuran 6 mm tebal, 100 mm lebar dan 520 mm panjang.

Manakala purlins menggunakan kayu Kempas dan siling pula menggunakan kayu Resak,” katanya kepada Sinar Harian. Abdul Rafa berkata, bahagian dinding diperbuat dari gabungan cermin kaca dan dinding pelapisan (wall cladding) yang diperbuat dari kayu keras Kekatong dan di bahagian luar bangunan ditambah dengan timber fins sebagai unsur dekoratif dan estetik menggunakan kayu keras Balau, Belian dan Resak.

”Secara keseluruhan, bangunan ini dibina dengan keluasan lantai 3,716.48 m2 yang terbahagi kepada komponen utama seperti tiga dewan pameran, galeri produk kayu serta pusat pentadbiran (ruang pejabat) yang telah  menggunakan lebih daripada 640 meter padu (m3) kayu atau 80 peratus (%) sebagai bahan struktur utama bangunan.

”Pembinaan galeri ini telah berjaya menggunakan konsep sistem pembinaan berindustri 'Industrialised Building System’ (IBS) dan ianya telah memenuhi skor IBS yang melebihi 80% dan antara lain ciri estetik adalah tangga yang  diperbuat daripada kayu Merbau dan susur tangga menggunakan kayu Nyatoh,” katanya.

Beliau berkata, penubuhan Galeri Glulam ini akan mampu meningkatkan penggunaan kayu di pasaran tempatan dan antarabangsa. “MTIB juga merancang untuk memajukan industri kayu di negeri Johor amnya Malaysia dengan  penglibatan pihak industri kayu kayan melalui Knowledge-Driven Strategy. “Untuk tujuan ini, fokus diberi kepada pendedahan latihan berkaitan produk kejuruteraan kayu. Galeri Glulam ini akan menjadi tempat rujukan (referral centre)  bagi pakar seperti akitek, Jurutera, kontraktor, pemaju ; stakeholders seperti JKR dan CIDB serta pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi Tempatan.