KLUANG - Semua bazar Ramadan di negeri ini tidak dibenarkan untuk menjalankan sebarang aktiviti berunsur politik semata-mata mahu meraih sokongan daripada masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata, kerajaan negeri telah menetapkan syarat yang ketat untuk dipatuhi bagi mastikan keselamatan pengunjung dan peniaga di bazar Ramadan.

Menurutnya, pada tahun ini sebanyak 215 bazar Ramadan di negeri ini yang telah mendapat kelulusan di 16 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan diuruskan oleh unit urusetia penganjur di kawasan masing-masing.

"Antara syarat yang perlu dipatuhi oleh setiap urus setia penganjur bazar Ramadan di negeri ini adalah bertanggungjawab dari segi kebersihan, menjaga lalu lintas di kawasan bazar Ramadan dan menjaga keselamatan pengunjung serta peniaga di bazar berkenaan," katanya.

Beliau berkata, perakra itu termasuk  membuat apa-apa program di tapak bazar Ramadan perlu meminta kebenaran urus setia penganjur berikutan mereka bertanggungjawab sepenuhnya jika ada apa-apa insiden yang berlaku.

"Apatah lagi program berbentuk politik memang tidak dibenarkan. Namun DAP dan pembangkang bukan sahaja berdegil dan tidak mematuhi arahan malah merempuh masuk sehingga menimbulkan kekecohan di Bazar Ramadan Bandar Kluang, petang Sabtu lalu.

"Ini bukan sahaja provokasi malah sengaja mahu mencetuskan kekecohan padahal kejadian yang sama turut pernah berlaku pada 2014 di lokasi sama apabila DAP turut mengedarkan risalah politik pada orang ramai ketika itu," katanya pada sidang media majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri dan agihan bubur lambuk SWM Environment Sdn Bhd di Bazar Ramadan Bandar Kluang, hari ini.

Md Jais yang juga Setiausaha Umno Johor dan Ketua Umno Bahagian Kluang berkata, keikhlasan DAP dalam memberi sumbangan kurma juga dipertikai apabila anggota pembangkang turut memakai pakaian parti mereka dan sumbangan dengan logo parti.

"Bagi saya, pembangkang sengaja membuat provokasi kerana mereka sudah tahu kekecohan yang bakal berlaku dan tindakan ini sangat berniat jahat.

"Pembangkang sebenarnya tiada isu untuk dimainkan dan apa yang saya harap jangan politikkan bazar Ramadan," katanya.