KEMAMAN - Persatuan Nelayan Kawasan Kemasik, dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, akan menganjurkan Program Jelajah Perahu Fiber Di Persisiran Pantai sejauh 55 kilometer sempena Merdeka Raya 2013 pada 1 September ini.
   
Pengerusi urusetia program berkenaan Mustafa Ab Rahman berkata jelajah itu dijangka dimasuk ke dalam Malaysia Books Of Records sebagai acara istimewa melibatkan nelayan (perarakan terpanjang) sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
   
"Program ini akan bermula dari Kuala Kerteh pada 8.30 pagi dan dijangka tiba di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Kemaman pada 11.30 pagi, melibatkan 750 nelayan dari Kuala Kerteh, Kemasik, Kijal, Telok Kalong dan Kuala Kemaman.
   
"Ia juga memberi peluang kepada nelayan tempatan terlibat secara langsung dalam program kemerdekaan bagi menyuntik semangat kemerdekaan kepada nelayan dan keluarga mereka," katanya kepada Bernama hari ini.
   
Ketibaan konvoi jelajah perahu itu dijangka disambut Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Anggota Parlimen Kemaman.

Mustafa, yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahmad Shabery, berkata perarakan itu melibatkan 250 bot fiber mengikut kuasa enjin pelbagai kuasa kuda.
   
"Ia juga akan melibatkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan daripada Polis Diraja Malaysia, Bomba, Rela dan Jabatan Pertahanan Awam serta petugas Pejabat Menteri, Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Pejabat Parlimen Kemaman.
   
"Orang ramai juga dijemput hadir untuk menyaksikan program istimewa yang bersejarah ini sekali gus memperkenal keindahan pantai di Kemaman sebagai pusat pelancongan dalam negara," katanya. - Bernama