TUHAU. Nama yang cukup pelik, aneh dan asing bagi sesetengah orang yang tidak mengenali tumbuhan ini, lagi-lagi masyarakat di semenanjung tanah air.

Tuhau (nama saintifiknya E coccinea) adalah sebutan bagi bahasa Kadazan dan Dusun. Ia merupakan sejenis tumbuhan yang boleh dikategorikan sebagai ulam yang tumbuh meliar di hutan hujan di Kepulauan Borneo, terutamanya di Tambunan, Ranau dan Keningau.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana rupa pokok tuhau, bagi masyarakat di semenanjung tanah air, tuhau boleh dikatakan umpama sejenis tumbuhan menyerupai pokok kantan.

Bagi suku Kadazan dan Dusun, jeruk tuhau merupakan makanan tradisional yang popular di Sabah.

Baru sahaja hidu bau jeruk ini, ia sudah pasti 'membuka selera'. Rasanya pedas masam dan pasti akan terkenyit mata kerana rasa masam yang ada padanya.

Ia juga sedap dimakan dengan nasi panas bersama ikan bakar atau ikan goreng mahupun ikan masin.

Namun, mungkin ada yang tidak berapa gemar dengan baunya yang tidak begitu menyenangkan.

Dari hanya makanan tradisional kampung, kini siapa sangka tuhau telah dipelbagaikan dan diinovasi mengikut cita rasa semasa.

Pemilik produk inovasi tuhau, Wasinah Kuntagil, yang juga bekas guru sekolah agama tampil membawa kelainan kepada produk itu selepas berhadapan dengan keluhan rakan-rakan kampung yang sukar membawa makanan itu menaiki kapal terbang.

"Pada 2008, saya cuba mencari penyelesaian kepada masalah itu dengan cuba untuk mengeringkan dan siapa sangka usaha itu akhirnya berjaya.

"Pada mulanya, produk kami hanya dijual di sekitar kampung," katanya yang menetap di Kampung Marakau, Ranau.

Menurutnya, produk keluarannya kini boleh didapati dalam lima jenis iaitu jeruk, sambal, belacan, serunding dan popia," katanya.

Wasinah berkata, selain rasanya yang sedap, tuhau juga dipercayai mempunyai khasiat kesihatan tetapi usaha merekodkan kandungan nutrisi produk tersebut masih belum disiapkan sepenuhnya.

Menurutnya, beberapa penyelidik telah memaklumkan kepadanya bahawa tuhau mempunyai khasiat daripada segi kesihatan.

"Ia dipercayai mempunyai anti kanser dan buang angin," katanya yang juga dalam proses untuk membukukan khasiat tuhau.

Selepas hampir lima tahun berkecimpung dalam perniagaan, usaha Wasinah dalam mengkomersilkan produk berasaskan herba daripada pokok tuhau itu akhirnya dicapai apabila Wasinah telah dua tahun terpilih mewakili Malaysia dalam The World Innovation Forum Kuala Lumpur (WIF-KL) sejak 2013.


Tuhau tembusi pasaran luar

Wasinah yang berasal dari Tambunan dan kini menjalankan perniagaan di Ranau secara sepenuh masa itu berkata, produknya hanya dikenali ramai selepas Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) berjaya menjejakinya menerusi Jejak Inovasi pada 2011.

Bermula daripada situ, produk tuhau telah berkembang dan bukan sahaja dikenali di sekitar Sabah tetapi di luar negara.

"Kelima-lima produk kami sudah boleh diperoleh menerusi ejen-ejen tertentu di seluruh negara.

"Bukan itu sahaja, kami juga berada di luar negara seperti Filipina, Singapura, Indonesia dan Brunei," katanya.

Disebabkan kekurangan modal, Wasinah hanya membuat pengeluaran secara kecil-kecilan di rumahnya menggunakan mesin dan kelengkapan asas.

Sebelum ini, Wasinah hanya menghasilkan produk bersama suami dan anak-anaknya.

Katanya, dalam sehari menerusi syarikatnya Nur Kasih Enterprise berjaya menghasilkan antara 300 hingga 500 botol sehari.

"Namun, sejak dikenali ramai, bekalan sedia ada masih tidak dapat memenuhi permintaan di Sabah.

"Oleh itu, kami mengharapkan bantuan untuk membeli mesin dan membesarkan bengkel atau kilang sedia ada untuk menampung permintaan yang tinggi," katanya.

Daripada kesemua jenis produk itu, Wasinah berkata, tuhau belacan dan serunding merupakan produk paling laris.

Walaupun serunding tuhau keluarannya dapat bertahan sehingga enam bulan, Wasinah masih mengkaji bagaimana untuk membolehkan produk keluarannya supaya boleh tahan lebih lama dan boleh dinikmati sepanjang masa dan bukan hanya pada musim perayaan sahaja.

"Namun, daripada segi bau, bau tuhau akan tetap boleh dihidu walaupun telah dimasak atau ditambah dengan belacan mahupun cili," katanya.

Wasinah juga masih dalam proses menghasilkan produk baharu iaitu sos tuhau dan mi segera tuhau.

"Kedua-dua masih dalam proses kajian dan penyelidikan (R&D) dan kami juga sedang menyiapkan kertas kerja untuk mendapatkan bantuan membeli mesin dan peralatan yang diperlukan untuk membuat produk tersebut," katanya.


Buka peluang pendapatan kepada penduduk kampung

Tuhau banyak tumbuh meliar sekitar kampungannya dan Wasinah berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan bahan mentah.

Bagi memberi peluang kepada penduduk setempat, dia mengalu-alukan penduduk untuk menanam pokok berkenaan berikutan permintaan produk itu semakin meningkat saban hari.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perancangan jangka panjang, beliau menyatakan hasratnya untuk membuka kilang pemprosesan tuhau seterusnya menawarkan peluang pekerjaan kepada ibu-ibu dan remaja kampung.

Di samping itu, Wasinah juga mahu status halal produknya diperakui memandangkan pendaftaran produk halal memerlukan tempat dan tapak pemprosesan khusus untuk produk berkenaan.