KEMAMAN - Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan membelanjakankira-kira RM300 juta bagi melaksanakan 11 projek barunya di Pantai Timur termasuk projek pembinaan pencawang masuk utama di kawasan perindustrian baru di Dungun.
Naib Presiden (Penghantaran) TNB, Datuk Rozimi Remeli berkata, peruntukan itu melibatkan perbelanjaan bagi tahun kewangan 2012 dan akan datang bagi memenuhi permintaan industri dan rakyat di Terengganu, Kelantan dan Pahang.
“Daripada jumlah itu sebanyak RM100 juta untuk membangunkan projek di seluruh Terengganu yang kebanyakannya projek baru bagi pembukaan kawasan industri yang baru,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik (KKKE) peringkat Negeri Terengganu 2012.
Kempen itu dirasmikan Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Zakaria Hussin.
Sementara itu, Rozimi berkata, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga bagi tempoh 2002 hingga 2011, sebanyak 599 kes kemalangan elektrik direkodkan membabitkan 301 kes kematian.
Katanya, golongan paling tinggi menjadi mangsa kemalangan elektik ialah kontraktor, diikuti golongan pekerja sendiri, suri rumah dan pelajar sekolah. Beliau berkata kempen itu diperkenalkan sejak tahun 2007 bagi menyalurkan maklumat dan memupuk kesedaran keselamatan elektrik sebagai usaha jangka panjang untuk mengurangkan kecuaian yang mengakibatkan kemalangan.
“Asalnya golongan sasaran yang menghadiri kempen ini adalah guru sekolah di mana sejak ia dilaksanakan pada 2007 seramai 6,588 orang guru daripada 1,481 buah sekolah menengah dan rendah dari seluruh Semenanjung mengikuti program ini.
"Berikutan sambutan baik, bermula tahun lalu seramai 2,554 orang murid tahun dua daripada 673 buah sekolah rendah di seluruh negara turut menyertai kempen itu,” katanya.
Rozimi berkata, kempen yang dilaksanakan itu menampakkan keberkesanan apabila kes kematian membabitkan kemalangan elektrik mula berkurangan iaitu 35 kes pada 2009, 33 kes (2010) dan 28 kes (2011).
Kempen itu disertai 300 peserta terdiri daripada 240 murid dan 60 guru pengiring dari sekolah sekitar Kerteh termasuk empat buah sekolah angkat TNB di Terengganu iaitu Sekolah Kebangsaan Paka III (Dungun), Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan (Marang) dan Sekolah Kebangsaan Kuala Berang serta Sekolah Kebangsaan Tapah dari Hulu Terengganu. - Bernama
TNB belanja RM300j biaya projek baru di Pantai Timur
Tarikh: June 25, 2012
Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.