MALAYSIA mempunyai ekosistem halal yang kondusif untuk pembangunan industri itu terus diberi penekanan kerana potensi pasaran global yang luas dan permintaan sentiasa meningkat.

Seiring perkembangan tersebut, Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2017 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 5 hingga 8 April nanti, dijangka menarik lebih ramai penyertaan di kalangan usahawan tempatan dan luar negara.

Pengarah Unit Makanan, Biotek dan Halal Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Mohd Aminuddin Sham Tajudin berkata, pameran MIHAS 2017 edisi ke-14 menampilkan perubahan dari segi penambahbaikan cara.

"Pada MIHAS 2017, Matrade menyasarkan 550 pempamer dari syarikat tempatan dan luar negara melibatkan lebih 30 negara.

“Pameran akan dibahagikan kepada tiga kawasan yang berbeza iaitu makanan dan minuman, bukan makanan yang menempatkan sektor farmaseutikal dan kosmetik, serta perkhidmatan yang menempatkan sektor perbankan, logistik, pelancongan dan sektor digital.

“Saya yakin cara ini memudahkan pengunjung dan memberi pengalaman yang lebih positif. Pada tahun ini juga, ‘Malaysia International Islamic Lifestyle Exhibition' (Mile) diperkenalkan dan merupakan pameran dianjurkan selari dengan MIHAS 2017,” katanya.

Mile adalah bukti kepada usaha Malaysia untuk menggalakkan produk patuh syariah di tahap global.

“Pameran ini akan memperkenalkan bahan bukan guna habis dan produk gaya hidup Islam yang berkaitan serta perkhidmatan yang bertujuan untuk mencetuskan minat dalam perniagaan dan perdagangan.

“Sektor yang akan diketengahkan di dalam pameran ini adalah seperti fesyen sederhana, pendidikan dan kesusasteraan Islam, seni Islam, teknologi maklumat dan multimedia, barang kemas dan perhiasan serta pembangunan sosial dan masyarakat,” katanya.

Sektor makanan catat jualan tinggi

Mengulas mengenai penyertaan peserta dalam program Penyumberan Antarabangsa (INSP), Mohd Aminuddin berkata, pada MIHAS 2016, 413 pengeksport dari Malaysia dipadankan dengan 584 pembeli luar negara dari 365 syarikat, dari 40 negara.

"Pada tahun yang sama, lebih 4,000 pertemuan perniagaan dijalankan di landasan INSP dan hasil pemadanan perniagaan iaitu sektor makanan dan minuman terus mencatatkan jualan tertinggi dengan kutipan RM397.08 juta, mewakili 68.6 peratus daripada jumlah jualan diraih melalui INSP.

"Gabungan jualan bagi sektor produk bukan makanan seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik adalah RM177.17 juta (30.6 peratus). Barangan utama diperdagangkan seperti produk minuman, makanan ringan, kosmetik, produk berasaskan kelapa, minyak masak dan makanan sejuk beku.

"China, United Kingdom, Taiwan dan Korea adalah lima negara teratas yang mencatatkan jualan tertinggi melalui INSP pada 2016. Ia adalah positif berbanding 391 pempamer melibatkan 45 negara, tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, Matrade menyasarkan penyertaan baharu yang lebih berkualiti pada tahun ini.

"Setakat ini, Matrade menerima beberapa penyertaan baharu antaranya Maldives, Jordan, Tanzania dan Nepal.

“Tahun lalu, INSP mencatatkan jualan RM478.7 juta dan dijangka meningkat tahun ini," katanya.

INSP memberikan impak besar kepada pemain industri halal tempatan dan pembangunan industri halal di Malaysia, sejak diperkenalkan di MIHAS pada 2005.Platform pertemuan antara peniaga

Program ini akan memberi peluang kepada syarikat–syarikat tempatan terutamanya syarikat daripada industri perusahaan kecil sederhana (PKS) untuk menerokai pasaran antarabangsa dengan kos efektif.

"Pasaran yang luas ini membuka peluang bagi PKS untuk menerokai bidang perkhidmatan dan produk halal di luar negara sebagai satu lagi pilihan untuk menjana pendapatan," katanya.

Mohd Aminuddin Sham berkata, Matrade sentiasa mengadakan aktiviti mempromosi dagangan ke luar negara dan syarikat tempatan boleh mengambil peluang untuk menerokai pasaran tersebut terutama dalam sektor makanan dan minuman, ramuan halal dan kosmetik.

"Produk–produk halal utama yang dieksport ke luar negara terdiri daripada makanan dan minuman, ramuan halal, kosmetik dan jagaan peribadi, bahan berasaskan minyak sawit, bahan kimia industri dan farmaseutikal.

"Pada 2015, nilai eksport produk halal telah meningkat 4.5 peratus kepada RM39.4 bilion berbanding dengan RM37.7 bilion pada 2014.

"Antara destinasi utama untuk eksport produk halal adalah China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia dan Jepun," katanya.