SEBUT sahaja SYM, pasti ramai terbayang papan iklan jenama motosikal dan skuter yang gah dipaparkan di lebuh raya seluruh Malaysia dengan menampilkan dua duta popular, Safee Sali dan Syamsul Yusof.

Dengan 'tagline' menarik ‘Safee yang Menunggang’ dan ‘Syamsul Yusof Mencelah’ yang ditampilkan jenama Taiwan itu, maka tidak hairanlah produk tersebut mendapat sambutan ramai.

Namun, siapa sangka pengedar jenama motosikal itu di Malaysia, Malaysian Formula Bikes Sdn Bhd (Malaysian Formula Bikes) terpaksa menanti tiga tahun sebelum dapat mengeluarkan dan menjual motosikal tersebut.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Seri Arifuddin M Shah berkata, syarikat itu ditubuhkan pada 2004 untuk mendapatkan lesen pengilangan motosikal dan skuter.

“Ketika itu, kami masih berkecimpung sebagai vendor dan pembekal bahagian komponen pembuatan kepada Proton. Jadi, kami banyak berurusan dengan banyak negara yang buat mesin untuk komponen automotif.

“Masa itu, kami lihat banyak motosikal dan skuter di negara berkenaan sehingga mencetuskan idea kami untuk memulakan perniagaan motosikal di Malaysia,” katanya.

Selepas menerima lesen pengilangan itu setahun kemudian, Arifuddin berhasrat mengeluarkan jenama motosikal dari China kerana banyak syarikat lain yang menjual produk dari negara itu di Malaysia dan berjaya dalam perniagaan tersebut.

Namun, selepas dua hingga tiga tahun, rakyat Malaysia tidak boleh menerima produk dari negara tersebut kerana ada masalah tertentu.

“Masa itu, kami sudah mula bekerjasama rapat dengan sebuah syarikat gergasi dari China, tetapi disebabkan penguasaan pasarannya menurun daripada 30 ke 40 peratus menjadi lima peratus, kami tidak jadi memulakan operasi pada 2005,” katanya.

Lelaki berusia 37 tahun itu tidak berputus asa, malah semakin gigih mencari pengedar motosikal dan skuter lain kerana melihat potensi perniagaan itu yang jarang diceburi golongan Bumiputera.

“Sepanjang tempoh tersebut, kami berikan tumpuan kepada pengilang yang membekalkan komponen automotif kepada Proton dan Perodua.

“Akhirnya, pada 2008, kami jumpa juga motosikal yang bagus iaitu jenama SYM dari Taiwan dan buat keputusan untuk 'hidupkan' operasi motosikal SYM,” katanya.


Lalui banyak proses jual motosikal

Bukan mudah untuk memulakan operasi menjual motosikal luar di Malaysia kerana ia memerlukan usaha gigih dan modal yang besar.

Dengan modal berbayar RM1 juta dipinjam daripada keluarganya, Arifuddin terpaksa mengambil masa setahun sebelum boleh menjual motosikal berkenaan.

“Kita kena bangunkan kilang dan mempromosikannya selain membawa komponen motosikal dari Taiwan ke Malaysia untuk dipasang. Kemudian bila sudah siap, kena hantar ke kedai dan pengedar untuk jual.

“Bila motosikal sudah dihantar kepada pengedar, kita tidak boleh minta bayaran terus sebaliknya kena tunggu sekurang-kurangnya 30 hari. Jadi kami terpaksa bertahan tanpa apa-apa pendapatan ketika peringkat awal perniagaan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Arifuddin juga perlu berurusan dengan 10 agensi antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Alam Sekitar sebelum dapat menjual motosikal SYM.

Walaupun sepanjang tempoh itu tiada penjualan motosikal dan skuter dibuat, namun Arifuddin terpaksa juga membayar gaji lima pekerjanya.

Kini, Arifuddin mampu menarik nafas lega kerana segala usahanya membuahkan hasil apabila motosikal jenama SYM diterima baik oleh masyarakat Malaysia.

“Pada awalnya, kami hanya mengeluarkan 200 unit motosikal dalam tempoh sebulan, kemudian naik 600 sehingga 1,000 unit sebulan. Bila kami mula keluarkan motosikal kategori kapcai dan menggunakan Safee Sali pada 2012 sebagai duta SYM, pengeluaran meningkat sehingga 300 peratus.

“Kemudian, setiap tahun, pasaran akan naik lebih kurang 200 hingga 300 peratus. Alhamdulillah jualan semakin baik,” katanya.

Lebih 10 jenis motosikal dan skuter pelbagai model telah dikeluarkan Malaysian Formula Bikes di Malaysia seperti model VTS 200, Mio 100, Power 125 Special Edition, T2 250i, E-Bonus 110, Bonus 110 SR, E-Smart 110, Sport Bonus SR, Symphony Evo 250i dan Maxsym 400i pada harga antara RM3,110 hingga RM26,450.

Dalam tempoh terdekat, Arifuddin berkata, Malaysian Formula Bikes merancang untuk mengeluarkan skuter teknologi tinggi yang mesra alam.

Ketika ini, motosikal dan skuter mempunyai sebuah kilang pemasangan seluas tujuh ekar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, menurut Arifuddin, sebuah kilang akan dibina lagi di Batu Kawan, Pulau Pinang di atas tanah seluas 19 ekar tidak lama lagi.

“Ini bagi menampung gudang motosikal dan skuter yang tidak mencukupi,” katanya.


Rakan bantu promosi motosikal

Pada awal pengeluaran motosikal SYM di Malaysia, Arifuddin mengakui agak sukar untuk menjual motosikal itu.

“Pengedar yang menjual motosikal tidak sama seperti kereta yang hanya memfokuskan satu model kenderaan saja, sebaliknya pengedar motosikal akan menjual semua jenama motosikal dalam sebuah kedai.

“Pada peringkat awal, kami ada hanya 30 peniaga saja yang sanggup menjual motosikal kami. Namun nasib saya baik kerana ada seorang kawan bukan Bumiputera membantu mempromosi motosikal SYM kerana yakin dengan kualitinya,” katanya.

Dengan bantuan rakannya itu, akhirnya jenama SYM Malaysia yang dikeluarkan syarikat Bumiputera itu kini mempunyai kira-kira 300 pengedar di seluruh Malaysia.

“Kami yakin jumlah ini akan bertambah pada masa depan,” kata Arifuddin.

Menurutnya, buat masa ini, Malaysian Formula Bikes akan memfokuskan kepada usaha untuk membentuk pusat pameran berkonsepkan jualan, servis dan alat ganti (3S) yang hanya menjual produk keluaran SYM sahaja.

“Kita akan bekerjasama erat dengan pengedar ini dan melabur untuk pembinaan pusat pameran berkonsepkan 3S.

“Setakat ini, kami mempunyai tiga pusat pameran 3S iaitu di Selangor, Sabah dan Kedah. Kita sasarkan, menjelang hujung tahun ini, akan ada 10 pusat pameran 3S dibina, manakala antara 15 hingga 20 lagi akan dibangunkan tahun depan,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi usahawan automotif, Arifuddin mengingatkan supaya mereka memberikan komitmen sepenuhnya terhadap perniagaan itu bagai menatang minyak yang penuh jika ingin berjaya.

“Kadang kala, hobi yang kita minati juga terpaksa dikorbankan untuk memberi tumpuan pada perniagaan.

“Selain itu, kita perlukan sebuah pasukan  komited yang boleh membantu menguruskan perkara yang kita tidak mampu.

"Jadi kita boleh gabungkan kepakaran orang lain untuk jadikan perniagaan lebih efektif dan berjaya,” katanya.