SUNLIGHT Unicablink iaitu sebuah syarikat di bawah syarikat Kumpulan Sunlight Taxi melancarkan Sistem Kedudukan Global (GPS) pertama yang memudahkan sistem pesanan  teksi di Malaysia dan tempahan melalui aplikasi Unicablink.

Perkhidmatan GPS bersepadu ini membolehkan sistem pesanan teksi dilakukan secara automatik sekali gus mengambil-alih peranan pusat panggilan di mana mereka akan ditugaskan untuk menghantar penumpang tanpa campur tangan manusia.

Pemandu teksi boleh bertindak balas dengan meletakkan tawaran mereka dan mengesan penumpang terbabit melalui sistem GPS. Perkara ini dilihat dapat memberi tindak balas cepat kepada pelanggan untuk diambil seterusnya memberikan perkhidmatan pelanggan lebih baik.

Pengarah Eksekutifnya, Choi Wei Yee berkata, penggunaan sistem GPS bertujuan mewujudkan pengurusan lebih baik dan meningkatkan kecekapan pemandu teksi mereka.

Menurutnya, ia juga boleh membantu pemandu teksi menjana pendapatan lebih baik dan stabil.

“Melalui sistem GPS, pendapatan pemandu teksi dijangka meningkat 50 peratus dan mereka tidak perlu untuk memandu keluar bagi mencari pelanggan atau bersaing dengan pemandu teksi lain untuk pelanggan sama,” katanya pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata, sambutan dalam kalangan komuniti teksi terhadap penggunaan GPS amat menggalakkan sejak mula diperkenal dan sehingga kini, lebih 1,000 teksi Sunlight dilengkapi dengan sistem tersebut.    

“Dengan hanya membayar jumlah yuran bulanan rendah, mereka boleh melanggan sistem GPS ini dan akan dilatih untuk menggunakan sistem itu tidak kira sama ada mereka berada di bawah kumpulan teksi kami atau pun tidak,” katanya.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran aplikasi telefon pintar Unicablink untuk tempahan teksi. Aplikasi mesra pengguna itu bertujuan untuk membuat tempahan teksi lebih mudah untuk penumpang melalui peranti mudah alih sekali gus mengatasi kerisauan dalam membuat panggilan ke pusat panggilan teksi.

“Aplikasi telefon pintar ini boleh digunakan untuk iPhone dan semua peranti berasaskan Android. Ia boleh dimuat turun melalui kedai aplikasi iPhone dan Android,” katanya.