KERAJAAN sedang mengkaji struktur cukai bagi penyedia perkhidmatan kandungan digital asing, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

Menurut beliau, kementerian akan meneliti laporan "Ekonomi Digital Malaysia: Pemacu Baru Pembangunan" sebelum menghasilkan sebarang mekanisme bagi ekonomi digital.

"Sudah tentu kami akan meniliti perkara berkenaan tetapi saya tidak pasti jika ia boleh disediakan untuk Bajet 2019 pada 2 November depan.

"Ia menjadi fokus kami kerana jika diketepikan, negara akan kehilangan hasil," katanya semasa sesi Dasar Awam pada Persidangan Dunia Digital di sini.

Persidangan dua hari yang bermula hari ini telah dianjurkan oleh Kementerian Kewangan serta Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Global Kumpulan Bank Dunia.

Beliau ketika bercakap mengenai sasaran sumbangan hasil ekonomi digital kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), berkata kementerian akan meneliti laporan itu terlebih dahulu sebelum menetapkan sasaran yang munasabah untuk KDNK.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi bagi Ekonomi Makro, Perdagangan dan Pelaburan Kumpulan Bank Dunia, Richard Record berkata modus cukai adalah lebih penting berbanding tahap pencukaian kerana ia akan mencerminkan perubahan pesat dalam aktiviti ekonomi yang berlaku dalam saluran baharu, saluran digital dan membabitkan entiti-entiti yang berbeza.

"Bagaimanapun, kerajaan perlu mencari keseimbangan antara melaksanakan dasar dan peneraju.

"Kami fikir dengan dasar kawal selia yang betul, terutama dari segi pelaksanaan rangka kerja persaingan, ini akan menggalakkan pertumbuhan dengan penyertaan aktif perusahaan kecil dan sederhana selepas kos Internet jalur lebar diturunkan,” katanya.

Bercakap mengenai kadar cukai yang dicadangkan ke atas ekonomi digital, beliau memberitahu penggubal dasar Malaysia digalakkan untuk meneliti strategi negara-negara lain, yang telah melalui fasa yang sama dan mungkin boleh membuahkan sesuatu yang serupa dengan mereka.

"Australia telah mengenakan cukai pada 1 Julai lepas dan satu lagi contoh terbaik adalah melihat kepada Kesatuan Eropah," katanya. - Bernama