POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) meneruskan tradisi meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan memperkenalkan Poskad Animasi Aidilfitri (PAA).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, pek PAA ini mengandungi empat poskad Hari Raya Aidilfitri yang didatangkan dengan pelbagai reka corak termasuk setem 50 sen yang membolehkan para pelanggan menggunakan telefon pintar atau tablet, menonton animasi termasuk bunyi menerusi aplikasi Augmented Reality (AR).

Menurutnya, PAA gabungan teknologi digital dan kad berbentuk fizikal dan merupakan inisiatif Pos Malaysia mendidik generasi muda mengenai nilai kenangan sekeping kad ucapan perayaan yang semakin pupus.

"PAA ini berharga RM5.90 dan akan dijual di semua Pejabat Pos Besar dan pejabat pos terpilih. Pembeli kemudian boleh memuat turun aplikasi Poskad AR menerusi Google Play atau Apple Play Store, dan mengimbas poskad untuk menikmati animasi suasana raya," ujarnya.

Katanya, menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Pos Malaysia menggalakkan penghantaran kad ucapan perayaan kepada keluarga serta kenalan di seluruh Malaysia dengan menawarkan kadar penghantaran istimewa domestik bernilai 50 sen bermula 29 Mei hingga 20 Jun 2017.

"Pada masa kini, sesuatu ucapan itu dikirim dengan hanya menekan satu butang sahaja di hujung jari kita, tetapi, untuk menerima serta menulis ucapan pada sekeping kad itu amatlah bermakna, kerana ianya lebih kepada sentuhan peribadi dan berbentuk nostalgia. 

"Justeru itu, kami di Pos Malaysia menggalas kesinambungan tradisi ini dengan sekali lagi menawarkan promosi kadar caj istimewa penghantaran kad Raya ini,” katanya.