SINGAPURA - Keputusan kerajaan Malaysia mengurangkan subsidi bahan api merupakan langkah pertama dalam usaha mengukuhkan fiskalnya, kata Moody's Investors Service.

Malaysia pada hari Selasa telah menurunkan subsidi bahan api ke atas diesel dan petrol gred rendah RON95, sebanyak 20 sen setiap liter.

"Memandangkan penurunan itu agak sedikit, perkembangan seterusnya ke atas rasionalisasi subsidi dan pembaharuan fiskal yang lain amat perlu bagi memenuhi sasaran fiskal kerajaan," kata Moody's dalam "Issuer Comment" terbarunya.

Ia berkata, pelarasan signifikan kepada rangka kerja fiskal yang memperluaskan asas cukai dan mengurangkan beban subsidi telah tiada sekian lama sejak 2008.

Sehubungan itu, kenaikan harga bahan api mewakili satu langkah kredit yang positif dalam rancangan pengukuhan fiskal kerajaan, yang mana butiran terperinci akan dibentangkan pada ucapan belanjawan Oktober ini.

Menurut Moody's, kerajaan menjangkakan penjimatan pada pusingan semakan subsidi bahan api kali ini untuk mencecah RM1.1 bilion pada 2013 dan RM3.3 bilion untuk tahun 2014.

Bagaimanapun, ini telah terbantut oleh RM37.6 bilion yang diperuntukkan untuk bil subsidi, yang menguasai 18.6 peratus daripada perbelanjaan semasa (atau kendalian) dalam belanjawan tahun ini.

Moody's berkata, subsidi-subsidi itu ialah 21.4 peratus daripada perbelanjaan kendalian 2012, meningkat daripada 8.5 peratus pada 2007 dan hanya  3.6 peratus pada 2003.

Agensi penarafan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan pemberian tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah bagi mengurangkan kesan harga bahan api yang tinggi ke atas kuasa membeli mereka.

Oleh itu, ia berkata, defisit fiskal yang terlalu rendah memerlukan pelarasan tambahan kepada rangka kerja subsidi.

Moody's berkata, keperluan untuk mengukuhkan subsidi dan meluaskan asas cukai telah dijelaskan oleh perdana menteri dalam ucapan belanjawan tahun lepas.

Meskipun dengan mandat pengundian yang rendah selepas pilihan raya pada bulan Mei, parti pemerintah kerajaan Barisan Nasional telah memperlihatkan penyelesaiannya untuk melaksanakan agenda pembaharuan fiskalnya.

Sementara itu, memandangkan terdapatnya prospek untuk Rizab Persekutuan AS mengurangkan programnya yang menjuruskan kepada penjualan besar-besaran di pasaran sedang pesat membangun, kerajaan telah menyedari keperluan segera untuk mengurangkan kebimbangan pelabur berhubung kemapanan fiskal.

Pegangan bukan pemastautin ke atas sekuriti kerajaan Malaysia telah merosot sejak Mei, berikutan 16 tempoh suku kenaikan berturut-turut permintaan luar untuk instrumen mata wang tempatan.

Ia maklum kerajaan komited untuk mengekalkan lebihan tahun sepenuhnya dalam belanjawan kendalian, sementara mengekalkan keseluruhan defisit fiskal tahun ini di bawah 4.0 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Dalam pada itu, langkah-langkah yang akan diumumkan dalam ucapan Belanjawan 2014 pada 25 Oktober ini, amat penting dalam menentukan hala tuju pengukuhan fiskal dalam tempoh pentadbiran semasa ini. - Bernama