PERSATUAN Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengadakan kerjasama dalam Digital Tourism selama setahun, untuk mewujudkan pembangunan 'Sharing Economy' dalam sektor pelancongan.

Presiden MITA, Uzaidi Udanis berkata, kerjasama tersebut mengunjurkan penyertaan 2,000 orang awam atau syarikat yang akan menjadi Tour Buddy menjelang akhir tahun 2018, bagi melaksanakan Digital Tourism.

Menurutnya, kerjasama itu juga menyasarkan penyertaan orang awam yang tidak terlibat dalam bidang pelancongan bagi mempromosi serta memperkenalkan tempat tarikan pelancongan yang baru di Malaysia.

"Melalui Tour Buddy, peserta akan diberikan latihan selama sebulan dan mereka akan guna aplikasi mudah alih sedia ada yang terkenal di peringkat antarabangsa," katanya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MITA dan MDEC, di Kuala Lumpur, semalam.

Uzaidi berkata, projek perintis yang akan dilaksanakan itu akan melibatkan sembilan lokasi pelancongan di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Melaka, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Taman Negara.

"Kami menjangkakan melalui Tour Buddy, mereka boleh menjana pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata, mereka yang dipilih akan dilatih penggiat industri yang bertauliah dan berpengalaman sebelum mereka diberikan pengiktirafan Tour Buddy.

"Maklumat mereka akan dimuat naik ke beberapa digital platform sedia ada berasaskan khidmat pelancongan.

"Tour Buddy akan dihubungi dan akan bertemu pelancong di lokasi ditetapkan dan bayaran akan dibuat mengikut kadar masa atau pakej ditawarkan," katanya.