GENIUS Aulad International Group Sdn Bhd (Genius Aulad) yang memulakan operasi sekolah rendah antarabangsa atau Idrissi International Primary School (Idrissi) boleh dijadikan pilihan jika ibu bapa berhasrat menghantar anak mengikuti pengajian sekolah antarabangsa.

Pengasasnya, Datin Paduka Zaliza Alias berkata, Idrissi berbeza dengan sekolah antarabangsa sedia ada,  kerana ia menawarkan yuran bulanan berpatutan malah kelebihan Idrissi menekankan kefahaman pelajar mengaitkan setiap pembelajaran dengan alam sekitar sebagai hamba ALLAH.

“Cuba bayangkan purata pengajian untuk pelajar di sekolah rendah antarabangsa mencecah puluhan ribu. Di Idrissi memberikan kelainan kepada pelajar kerana ia adalah sekolah antarabangsa pertama di Malaysia berkonsepkan Eco Islamik,” katanya.

Idrissi School terletak di Setia Dagang, Setia Alam dan pelajarnya adalah dari Bangsar, Damansara, Shah Alam dan beberapa kawasan lain yang kebanyakannya adalah pelajar dari Genius Aulad.

Zaliza berkata, Idrissi kini mempunyai 50 pelajar dan lima kelas bermula daripada darjah 1 sehingga darjah 5.

“Idrissi unik kerana Konsep Pendidikan Idrissi menggabungkan nilai Islam sebagai Pembelajaran Gaya Hidup, alam semula jadi sebagai alat pembelajaran. Malah, bahasa pengantar Idrissi adalah Bahasa Inggeris di samping pelajaran komunikasi Bahasa Mandarin dan Bahasa Arab.

“Pelajar mempelajari komunikasi Bahasa Mandarin melalui Idrissi Zheng He Mandarin disesuaikan rakan kongsi dari Xi’an, China. Komunikasi Bahasa Arab diperoleh melalui kurikulum kerjasama Al Madinah International University,” katanya.

Zaliza berkata, tenaga pengajar terdiri daripada guru tempatan dan antarabangsa antaranya dari Perancis, China, Nigeria, Sweden manakala sesi pembelajaran bermula 9 pagi hingga 3.30 petang.