SELAMA lebih tiga dekad, Bob komited menyediakan makanan berkualiti terbaik kepada orang ramai.

Hasratnya adalah untuk menerapkan kepada orang ramai bahawa kesihatan dan kepercayaan mempunyai hubung kait amat rapat, sama seperti beliau membangunkan perniagaan bersama isterinya, Charlee bagi melahirkan Bob's Red Mill iaitu jenama unggul yang menawarkan produk gandum bebas gluten dan rangkaian bijirin berkualiti tinggi berasaskan organik.

Selaku pengasas, Bob berperanan penting dalam operasi perniagaan harian dengan membawa pendekatan jujur dan kebaikan yang mana dikongsi bersama setiap pekerjanya sebagai komitmen menyediakan rangkaian bijirin terbaik sehingga jenama mereka terkenal di seluruh negara termasuk Malaysia.

Bob's Red Mill yang kini sudah memasuki pasaran Malaysia melalui kepelbagaian jenis produk bijirinnya diterima baik. Malah ketika Bob hadir menemui peminatnya di pasaraya Ben's Independent Grocer, Publika Mont Kiara baru-baru ini, kehadirannya ternyata sangat ditunggu oleh ramai peminat jenama Bobs Red Mill. Sambutan yang diterima Bob sendiri pastinya merupakan indikator memperlihatkan bahawa rakyat negara ini semakin prihatin terhadap penjagaan kesihatan menerusi makanan harian yang diambil.

Rangkaian produk Bob's Red Mill kini lebih mudah didapati dikebanyakan pasaraya utama termasuk di Ben's Independent Crocer, Jaya Grocer, Village Grocer, AEON Maxvalu, BMS Organic selain boleh dibeli secara atas talian. Kehadiran Bob yang berkongsi rahsia kejayaannya dengan Sinar Harian, dibawa oleh Ballun Distribution Sdn Bhd yang juga merupakan pengedar eksklusif jenama ini.

Bob's Red Mill tawar lebih 400 produk

Setiap perniagaan ada sejarah penubuhannya, begitulah dengan Bob's Red Mill.

Bob's Red Mill diasaskan Bob bersama isterinya Charlee menerusi syarikat Bob’s Red Mill Natural Foods pada 1978 di Amerika Syarikat (AS) yang mana ia dibangunkan sebagai sebuah perusahaan yang dimiliki oleh pekerja.

Produk Bob's Red Mill diedarkan ke seluruh AS, Kanada dan beberapa negara lain di barat juga Eropah, sementara Malaysia adalah antara negara yang telah berjaya ditembusi untuk pasaran di Asia selain Jepun.

Bob's Red Mill menawarkan lebih 400 produk berasaskan gandum penuh dan bijirin berkualiti tinggi.

Bob dan Charlee mengasaskan Bob's Red Mill bersama-sama dan mereka menganggapnya sebagai sebuah perusahaan cinta di mana pada mulanya hasrat mereka adalah untuk memberi makanan terbaik kepada keluarga.  Charlee adalah orang bertanggungjawab terlibat sedari awal penubuhan kedai pertama Bob’s Red Mill iaitu Whole Grain Store yang mana selepas itu ia berkembang sangat pantas sehingga dikenali masyarakat setempat.

Pada awalnya, segala urusan di kedai dijalankan sendiri oleh Charlee termasuklah pembungkusan produk yang dilakukan menggunakan tangan.

Sehingga kini, pasangan suami isteri ini masih suka meluangkan masa di kedai pertama mereka itu dan menghabiskan masa berbual bersama pelanggan atau bersama-sama menikmati sarapan pagi dengan menu sihat berasakan gandum penuh bebas gluten.

Eksperimen Charlee jadi inspirasi!

Sekitar tahun 1950-an Bob dan Charlee berpindah ke Mammoth Lakes, sebuah bandar peranginan kecil di pergunungan di sebelah utara Los Angeles. Mereka membeli ladang kambing lima ekar di mana mereka membesarkan anak lelaki mereka. Di ladang itu, Bob dan anaknya menjual susu dan telur kepada komuniti tempatan sementara Charlee mula bereksperimen dengan membakar roti gandum.

"Roti gandum pertama yang keluar dari ketuhar Charlee di ladang lima ekar kami pada tahun 60-an adalah roti paling sedap yang pernah saya ingat dengan baunya yang lazat dan rasanya yang enak," kata Bob.

Menurutnya, Charlee bereksperimen menghasilkan makanan sihat bermula dengan kematian bapanya akibat serangan jantung pada usia 49 tahun selain dia amat obsesi dengan makanan sihat dihasilkan neneknya.

Bermula dari situ, pasangan ini terlibat di dalam industri pembuatan tepung sekitar pertengahan tahun 1960-an.

Mengharungi pelbagai cabaran dalam perusahaan ini, pasangan ini terus komited sehinggalah ketika mereka berpindah ke Portland, Bob membeli sebuah kilang tepung komersial di Oregon City, dan kemudiannya membeli sebuah lagi kilang yang ditutup berhampiran Dufur, Oregon.

Pada ketika ini, perusahaan terus berkembang dengan menghasilkan tepung gandum bebas gluten dan bijirin berkualiti untuk kawasan setempat. Pada tahun 1978, Charlee mengambil keputusan membuka kedai dan membuat perjanjian dengan kedai runcit Fred Meyer untuk memasarkan produknya.

Bermula dari ini, perjalanan syarikat kemudiannya terus mencatat sejarah jatuh bangun tersendiri sebelum kejayaan ditempa seperti hari ini.

Jadikan pekerja pemilik syarikat

Berpegang kepada prinsip jujur dan kebaikan dalam perniagaan, pasangan ini berkongsi kekayaan syarikat bersama kakitangan mereka.

Bob dan Charlee mahu setiap pekerja menjadi pemilik syarikat pada saat mereka meninggalkan syarikat.

Menurut Bob,  pada sambutan ulang tahun kelahiran Bob ke-81, pekerja menerima hadiah istimewa apabila dia memutuskan untuk melakukan pemberian terbaik pemilikan beliau dalam perniagaan dengan mewujudkan Program Kepemilikan Saham Pekerja (ESOP) dan menjadikan setiap pekerjanya sebagai pemilik saham.

"Keputusan itu telah mengejutkan semua pekerja," kata Bob.

Bagi mereka, pemberian berkenaan adalah satu lagi contoh kebaikan Bob yang bermurah hati.

"Ini adalah perkara yang betul untuk saya lakukan. Saya mempunyai orang yang bekerja dengan saya selama lebih 30 tahun dan setiap seorang daripada mereka layak mendapat ini," katanya.

Menurutnya setiap pekerja Bob's Red Mill komited untuk sumber, pengilangan, pengujian, pembungkusan, pelabelan dan penjualan produk terbaik yang tersedia."

"Sebagai majikan, adalah tanggung jawab kita membantu satu sama lain bagi menambah sesuatu kebaikan.

"Untuk membuat orang lebih bahagia dan merasai bahagia adalah lakukan kebaikan," katanya.