DI Malaysia, tidak banyak kedai roti dan kek milik usahawan Melayu Muslim ekoran kos perbelanjaan yang tinggi biarpun banyak permintaan. Malah sejak dahulu lagi, tidak ramai orang Melayu dan Bumiputera menceburi bidang bakeri disebabkan faktor harga mesin agak mahal berbanding bidang lain.

Namun wanita lulusan Sarjana Perdagangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dahlia Nazmi nekad berhenti kerja untuk terjun ke bidang perniagaan yang jarang diterokai masyarakat Melayu itu.

Keberanian Dahlia, 33, meninggalkan kerjayanya di sebuah syarikat besar wajar dipuji demi kepentingan orang Islam sendiri.

Bagi pemilik kedai roti Ajwa Bakery & Treats ini, dia sanggup bermula daripada bawah walaupun terpaksa menelan segala kesilapan demi minatnya itu.

Bermula dengan kesukaran mencari roti berlogo halal berdekatan dengan tempat tinggalnya di Kota Damansara, Dahlia sanggup berkejar ke setiap pelosok kawasan itu untuk mencari bakeri Muslim.

Namun pencariannya ternyata sia-sia kerana kebanyakan bakeri dikuasai kaum Cina dan dia meragui status halal roti tersebut.

“Saya pernah ke Rawang semata-mata untuk mendapatkan bekalan roti buatan Muslim. Lagipun, saya dan suami adalah penggemar roti. Satu masa, kami memborong dalam kuantiti banyak untuk disimpan dalam peti ais sebagai bekalan.

“Begitulah kesukaran saya untuk mendapatkan roti walaupun di kawasan saya ini terdapat 13 buah kedai bakeri namun semuanya dipelopori bangsa lain,” katanya.

Selepas mendengar banyak keluhan jiran dan rakannya mengenai kesukaran itu, Dahlia membuat keputusan berhenti kerja pada 2010 dan membuka kedai bakerinya sendiri dengan bermodalkan wang simpanannya RM210,000.

Pada awal pembukaan kedai, Dahlia menerima banyak maklum balas positif daripada komuniti sekeliling.

“Mereka banyak memberi komen positif untuk penambahbaikan daripada segi tekstur, rasa dan kualiti roti yang dijual.

“Dalam masa sama, saya juga banyak meniru cara promosi dan pembuatan bakeri lain terutamanya bukan Islam untuk memperbaiki segala kekurangan roti buatan sendiri,” ujarnya.


Aneka pilihan roti, kek

Berpegang kepada prinsip setiap perkara yang dilakukan harus bersandar kepada minat, Dahlia juga sebenarnya sudah lama mengimpikan untuk membuka kedai bakeri sendiri.

Minatnya terhadap bidang itu tidak pernah padam walaupun mempunyai pekerjaan tetap sebelum ini.

“Saya tidak ada pengalaman langsung dalam bisnes bakeri tetapi saya tidak menganggap ia boleh menghalang minat saya terhadap pembuatan roti dan kek. Bahkan saya tidak pernah berhenti belajar dan sentiasa memperbaiki kesilapan dengan merujuk kepada ramai pembuat roti lain.

“Mulanya, saya hanya mengambil masa sebulan sahaja untuk pelajari teknik-teknik pembuatan roti. Berbekalkan peralatan asas, saya mula menjual roti di sekolah dan masjid berdekatan sahaja.

“Ketika itu, saiz kedai juga tidak sebesar mana atau dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih seperti sekarang,” katanya.

Selepas beberapa bulan berniaga, sambutan terhadap rotinya mendapat sambutan di luar jangkaan dan permintaan semakin meningkat dari hari ke hari.

Dahlia kemudiannya menambah beberapa mesin seperti pemotong roti untuk memudahkan dia menjalani aktiviti perniagaan itu.

“Daripada beberapa jenis roti, kini kedai saya mampu membakar 30 jenis roti yang dijual secara berselang seli setiap hari.

“Ia adalah untuk mengekalkan kualiti roti dan pembeli mempunyai aneka pilihan nanti,” katanya.

Kedai Bakeri ini dibuka setiap hari kecuali hari Ahad dan cuti umum bermula jam 10 pagi dibantu dengan lapan kakitangan tetapnya.

Dahlia meletakan sasaran tahun 2015 sebagai tanda aras untuk menarik pembeli bukan Islam membeli pelbagai jenis roti dan kek di kedainya.

Menawarkan roti istimewa Ajwa Bakeri, Dahlia berkata, roti paung yang mempunyai lapan inti seperti double cheese, butter, susu dan banyak lagi  antara produk terbaiknya.

Selain roti tersebut, kastard pandan merupakan roti yang paling banyak dijualnya dan permintaan sangat tinggi daripada pelanggannya.

Dengan harga yang murah bermula RM1 hingga RM8 sesuai dengan taraf hidup masyarakat yang rata-ratanya berpendapatan sederhana.

Dia juga menjual kek, namun kuantiti agak kecil berbanding sebelum ini untuk menggelakkan tenaga kerja diguna melebihi masa sepatutnya.

“Sebelum ini, saya banyak menerima tempahan kek tetapi kekangan tenaga kerja yang terhad, saya menukar strategi dengan menghasilkan kek mini dengan harga RM20.

“Saya juga bertukar produk dengan pengusaha lain seperti sistem barter supaya barangan dalam kedai sentiasa penuh setiap masa,” katanya yang mampu meraih pendapatan RM80,000 sebulan.

Biarpun tidak mempunyai persaingan daripada kedai bakeri lain, Dahlia mengakui cabaran terbesarnya dalam bidang itu adalah kos mesin yang sangat tinggi.

Katanya, terdapat empat mesin asas dalam pembuatan roti seperti mesin pengadun, ketuhar, prover dan pembuat roti dengan harga yang mencecah ribuan ringgit.

“Saya membelanjakan RM70,000 untuk membeli mesin sahaja tidak termasuk bahan mentah dan perhiasan dalaman.

“Kebanyakan barangan pula adalah jenis terpakai kerana kos untuk mesin baharu lebih mahal dan mungkin menelan semua modal permulaan saya,” katanya.

Pada awal bakerinya dibuka, Dahlia akui keadaan agak kucar kacir kerana tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang itu.

Katanya, paling dititikberatkan adalah penjagaan kualiti produknya apatah lagi dengan kenaikan beberapa jenis bahan mentah ekoran cukai cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Ada harga barangan mentah seperti krim, buah segar dan keju meningkat tetapi saya tidak terasa dengan kenaikan ini kerana ada sesetengah harga barang turun.

“Paling penting, saya perlu bijak imbangi keadaan ini untuk memastikan kualiti roti dan kek masih sama seperti dulu,” katanya.