Bank Simpanan Nasional (BSN) menerima penghantaran bas antara bandar K410 IB daripada Scania (Malaysia) Sdn Bhd, menjadikan bank itu pelanggan pertama di Malaysia yang menerima bas terbaru keluaran syarikat itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sokongan Korporat) BSN, Ahmad Latfan Mohd Amran berkata, syarikatnya akan menggunakan bas terbaru itu untuk memudahkan pengangkutan pekerja bank tersebut ke kursus latihan, mesyuarat dan acara lain.

Sementara itu, Pengarah Urusan Scania Idros Puteh berkata, Scania telah mendapat persetujuan BSN untuk pembelian ulangan selepas bank itu berminat dengan keselesaan dan keselamatan bas keluarannya.

"Bas ini menggunakan platform enjin global terbaru, membolehkan pembakaran lebih baik, sistem pengurusan enjin yang telah di naik taraf dan sistem bersepadu bagi kawalan pelepasan.

"Kami percaya bas antara bandar ini akan membolehkan pelanggan kami di Malaysia mencapai kepuasan maksimum," katanya pada majlis penyerahan bas itu di ibu pejabat Scania di Bukit Jelutong, Shah Alam, baru-baru ini.

Scania adalah pembekal pengangkutan lori berat, bas, koc, perkapalan, industri dan enjin penjana kuasa.