AVON Malaysia (Avon) menyasarkan pertumbuhan jualan keseluruhan dua angka tahun ini selepas mencatatkan peningkatan jualan RM20 juta bagi 2012 dan menjadi tahun mencabar kepada syarikat.

Pengarah Urusannya, Carolyn Nur Amira Lee berkata, Avon akan melancarkan produk baru melibatkan beberapa kategori tahun ini selaras dengan lanjakan positif dicapai tahun lalu.

Menurutnya, ia termasuk produk penjagaan kulit, peralatan dapur dan penyimpanan makanan dari produk kediaman Avon.

“Kita optimis 10 jenis produk pakaian akan mendapat sambutan dalam kalangan wanita khususnya. Sehingga kini, Avon mempunyai kira-kira 200 butik seluruh negara dengan 42 pengurus zon yang bertanggungjawab menasihati serta memberi panduan kepada pengedar,” katanya pada majlis Avon Car Achievers.

Carolyn berkata, pada majlis itu, Avon telah menyerahkan kunci kepada dua pemimpin jualan tempatan iaitu Ngu Soon Huong dan Yek Hock King.

Katanya, syarikat itu akan mengikut perubahan kemahuan pengguna dan kekal relevan secara kekal kompetitif melalui mesyuarat dan program pertemuan bagi wakil syarikat itu.

“Tahun lalu, Avon memanfaatkan RM7 juta sebagai insentif dan bonus kepada wakilnya dan lebih 400 orang memperolehinya. - Bernama