Lokasi baru jejas perniagaan
![]() Masalah itu berlaku kerana kekurangan pengunjung menyebabkan peniaga lebih banyak termenung dan melelapkan mata berbanding melayani pelanggan seperti kebiasaan dilakukan mereka. Mereka mendakwa, perpindahan itu berlaku kerana akur arahan Majlis Perbandaran Nilai (MPN), bagaimanapun kini semakin tertekan selepas perniagaan mula mengalami kerugian. Tinjauan Sinar Harian di medan selera membabitkan 33 lot gerai itu mendapati kebanyakan peniaga hanya menghitung hari sejauh mana mampu bertahan sekiranya masalah itu berterusan tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkaitan. Kuih tidak laku Peniaga, Masinah Wagiman, 50, berkata sejak dua minggu berniaga di tempat baru itu, hampir setiap hari dia terpaksa membuang kuih muih yang tidak habis dijual. Menurutnya, sebelum ini, lima kilo tepung digunakan untuk membuat pelbagai jenis kuih muih dijualnya, namun kini tidak sampai tiga kilo tepung diperlukan. “Memang saya rugi besar sejak berniaga di sini. Bayangkan jika di tempat lama, saya boleh menjual mi sebanyak 20 kilo satu hari, tetapi sekarang tidak lagi. “Saya terpaksa membuang kuih muih yang tidak habis dijual. Mahu hantar ke surau, sudah selalu sangat. Takkanlah tiap-tiap hari mahu buat begitu,” katanya. Masinah berkata, dia bingung memikirkan masa depan perniagaannya jika keadaan itu dibiarkan berterusan tanpa adanya sebarang jalan penyelesaian daripada pihak berkenaan. Malah, dia turut mendakwa tidak ada sumber pendapatan lain selain daripada berniaga dan suaminya kini terlantar di rumah kerana sakit. “Saya ini bukan orang senang dan suami pula sakit di rumah. Sekarang sayalah yang berusaha mencari rezeki. Anak-anak pula bukannya tidak mahu membantu, tetapi mereka juga mempunyai kehidupan dan masalah sendiri. “Saya berharap sangat dapat berniaga di tempat lama kerana di sini memang saya betul-betul susah," katanya. Menurutnya, hari pertama berniaga di sini, pendapatan diterima hanya RM10. "Macam manalah saya mahu membayar gaji empat orang pekerja jika hari-hari seperti ini,” katanya. Mahu tempat lama Nora Yatim, 49, pula berkata, dia berharap dapat kembali berniaga di tempat lama kerana tidak sanggup menanggung kerugian setiap hari. Menurutnya, MPN tidak sepatutnya mengarahkan peniaga yang menjual makanan ringan seperti kuih muih dan minuman berpindah ke medan selera itu kerana mereka tidak menggunakan ruang besar berniaga sehingga mengganggu lalu lintas seperti didakwa orang ramai. “Kami tidak menyebabkan kesesakan kerana selepas habis berniaga kami akan tutup gerai. Saya pun sebelum ini berniaga hanya menggunakan payung. “Masalahnya sekarang ini, peniaga luar yang datang berniaga di sini membuka kedai makan hingga lewat malam. Mereka letak kerusi meja di kaki jalan hingga mengganggu lalu lintas di sini,” katanya. Nora yang sebelum ini berniaga di hadapan Bank Simpanan Nasional (BSN) berdekatan sejak 16 tahun lalu kini terpaksa akur dengan arahan MPN, namun berharap mereka dapat mencari jalan penyelesaian bersama membantu peniaga bumiputera di sini. “Jika di tempat lama dekat dengan bangunan rumah kedai, rumah penduduk dan di laluan utama menyebabkan sesiapa sahaja yang lalu di situ akan singgah membeli. “Bagaimanapun sekarang mungkin mereka fikir banyak kali untuk naik ke atas semata-mata hendak membeli kuih-muih,” katanya. Sementara itu, Ariah Lebai Ismail, 52 pula tidak kisah untuk ditukarkan berniaga di tempat lain tetapi lokasi tersebut perlulah bersesuaian hingga tidak membebankan peniaga. “Saya sudah berniaga di hadapan BSN sejak 19 tahun lalu dan itulah punca pendapatan saya membesarkan anak-anak tetapi sejak arahan berpindah, memang saya rugi besar sama seperti peniaga lain. “Sepatutnya, kami yang berniaga kecil ini biarlah di tempat lama dan hanya kedai makan sahaja perlu berpindah. Pihak berwajib perlu datang tengok keadaan kami berniaga di sini yang kekurangan pengunjung,” katanya. Pelanggan kurang Rohani Abdullah, 43, berkata, nasi lemak yang dijualnya kini terlalu sukar untuk dihabiskan seperti dahulu dan pendapatan diperoleh kini sekitar RM200 berbanding dahulu yang boleh mencecah ke RM600 sehari. “Lokasi baru ini agak ke dalam dan susah pengunjung mahu datang. Kedai makan saya pula agak jauh ke dalam menyebabkan pelanggan mungkin fikir banyak kali untuk datang ke sini. “Bagaimanapun, apa boleh buat sudah arahan jadi kami ikut sahaja. Cuma saya agak kecewa apabila diarah untuk berpindah ke sini, kemudahan lengkap seperti air dan elektrik tidak disediakan sebaik mungkin,” katanya. Selain itu, Asmaniza Johari, 34, berkata jika sebelum ini dia mampu menarik pelanggan hingga 100 orang sehari, namun sekarang mahu mendapatkan 20 orang yang datang terlalu sukar baginya. Menurutnya, disebabkan lokasi yang tidak dilengkapi dengan kemudahan sempurna menjadi salah satu faktor mengapa orang ramai tidak datang ke situ. “Kemudahan elektrik dan air pun tidak ada, susah untuk kami berniaga di sini jika ia dibiarkan berterusan dalam tempoh yang agak lama. "Kami perlu sediakan tong menyimpan air sendiri jika mahu menggunakan tandas. Malah, air di singki juga tidak ada,” katanya. |
Lain-lain Artikel:-
Sepakat hadir sidang
Yen Yen nafi terlibat rasuah RM2 juta
Mohsin perlu dapatkan mandat rakyat
Pemuda UMNO dedah tawar-menawar PKR
Ahli Bebas tidak akan wujud parti
Rais hargai pendirian Ku Li
Barisan tidak
lobi lompat parti
Pemilihan 28 Mac selesai masalah dalaman MCA
Tujuh ahli perniagaan tidak hormat Institusi Diraja akan dilucut gelaran Datuk
Suspek bunuh kekasih reman seminggu
Waspada golongan peralat pakaian agama: Jamil Khir
Taman, kebun bunga jadi produk pelancongan baru
Kerajaan perlu masa kumpul input
Adu SPRM jika ada bukti
Eksport negara meningkat 37 peratus pada Januari: Mukhriz
Modul Matrix pulih penagih dadah sintetik





