Pengunjung : 2123 Isnin 15-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Setahun guna jalan tidak berturap

JOHOL – Lebih setahun penduduk kampung Dingkir Inas menunggu kemudahan jalan setelah permohonan naik taraf jalan kampung itu diusulkan kepada pihak berkaitan tetapi seolah-olah dipandang sepi.

Namun, mereka tetap berharap supaya jalan yang menjadi laluan utama mereka diturap bagi kemudahan semua pihak.

Pemohon, Rosli Saham berkata, pada Oktober 2008, dia bersama penduduk lain membuat surat permohonan menurap jalan sejauh 1.5 kilometer dari simpang masuk ke jalan ini hingga ke dalam kawasan tanah yang sepatutnya.

“Jalan sudah ada cuma perlu diturap tetapi malangnya sehingga kini pihak kami tidak menerima sebarang reaksi untuk kemudahan tersebut.

“Kita sedia maklum, terdapat rancangan tanah pinggir di sini. Kebiasaannya mereka membawa hasil tanaman sayuran ke luar kawasan untuk dijual tetapi kecewa dengan kemudahan jalan raya yang tidak berturap dan berlopak di sana sini,” katanya.

Rosli berkata, apabila musim tengkujuh, jalan itu tidak dapat dilalui kerana becak dan kenderaan diletakkan di tempat lain.

“Ini menyukarkan kami terutamanya pada waktu pagi ketika hendak menghantar anak-anak ke sekolah,” katanya.

Selain itu, katanya, pada Disember 2008, surat maklum balas dari Pejabat Daerah dihantar kepada ketua kampung untuk tindakan lanjut tetapi tidak diambil apa-apa tindakan.

“Saya hanya mengetahui apabila bertanya mengenai perkembangan permohonan itu di Pejabat Daerah dan terpaksalah mengambil tindakan selanjutnya.

“Pada Mei 2009, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Hassan Malek memaklumkan permohonan jalan tersebut diluluskan dan menunggu masa untuk diturap tetapi sehingga kini tiada sebarang tanda,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Dingkir, Sulaiman Kudin berkata, kekangan peruntukkan menyebabkan jalan tersebut tidak dapat dinaiktarafkan namun, semuanya dalam proses.

“Di kampung ini, sebanyak tiga jalan kampung disiapkan iaitu dua di Kampung Gachong dan satu di kampung Dingkir manakala penurapan baru pula dua jalan di bawah JKKK Dingkir.

“Justeru, saya berharap pemohon bersabar kerana tidak semua perkara dapat diselesaikan dalam satu jangka masa yang singkat,” katanya.

Pejabat Daerah Kuala Pilah pula menyatakan permohonan jalan sudah diterima.

Bagaimanapun, pihaknya meminta pemohon memahami masalah kekangan peruntukan sedia ada dan permohonan itu akan dipertimbangkan pada penerimaan peruntukan akan datang.