Abang harap dapat kumpul enam beradik![]() Bukannya mereka lari dari rumah, namun masing-masing terpaksa membawa haluan sendiri merantau ke negeri orang selepas kesemua mereka satu demi satu terpaksa keluar daripada rumah kebajikan yang menjadi tempat membesar apabila usia sudah meningkat 18 tahun. Ketika itu, bapa yang dijadikan tempat bergantung mempunyai masalah, sementara ibu pula sudah lama meninggal dunia disebabkan penyakit kanser pangkal rahim menyebabkan hidup mereka semakin terhimpit ditambah pula tiada tempat mengadu. “Memang kami sekeluarga hidup susah sejak kecil lagi. Oleh kerana keadaan tidak mengizinkan dengan adik beradik ramai, ibu terpaksa menyerahkan adik bongsu kepada makcik untuk dijaga. “Tapi, kini saya impikan kembali suasana kami dapat hidup bersama di rumah kebajikan seperti dulu, namun saya sendiri tidak pasti di mana kami boleh tinggal bersama,” katanya. Halif berkata, bapanya yang kini sudah berkahwin lain pernah mengajak mereka semua tinggal bersama di Jelai, namun masing-masing tidak mahu disebabkan tidak dapat melupakan kisah duka dialami ketika masih kecil ketika bapanya berdepan masalah. Apatah lagi bapanya kini menderita penyakit usus dan mengalami kesempitan hidup menyebabkan Halif tidak mahu menyusahkannya. “Kami hanya berkumpul setahun sekali di rumah ayah. Itu pun satu hari sahaja dan keesokannya kami membawa haluan sendiri. “Saya faham mengapa adik-adik bersikap begitu kerana ketika kami duduk di rumah kebajikan pun ayah tidak pernah datang menjenguk dan bertanya khabar,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Lenggeng. Bina rumah sendiri Kesungguhan anak muda ini dapat dilihat apabila dia membina rumah di atas tanah pusaka milik ibunya menggunakan duit insurans kemalangan diperoleh. Namun, agak menyedihkan rumah yang dibina tidak begitu sempurna apabila hanya disediakan tandas dan sebuah bilik kecil selain tidak mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik. “Mujurlah ada sedikit duit simpanan dan duit insurans yang saya dapat selepas terlibat dalam kemalangan, jadi saya gunakannya untuk membina rumah kerana saya memang mahu bawa adik-adik tinggal bersama. “Selepas rumah siap saya tinggal di sini selama tiga bulan kerana tidak mahu menyusahkan pakcik yang tinggal di Sungai Machang Hilir. Malangnya, lama kelamaan saya tidak tahan kerana sukar untuk saya menjalani kehidupan seharian tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik,” katanya. Sinar Harian difahamkan, kini Halif menumpang di rumah bapa saudaranya dan rumah keluarga rakan yang prihatin dengan nasib dialaminya. Lebih menyedihkan, sejak kemalangan, sebelah tangan Halif tidak dapat berfungsi dengan baik menyebabkan dia sukar mendapat pekerjaan tetap. “Sekarang ini saya hanya kerja biasa mengikut sesiapa yang memerlukan pekerja kerana hanya ini sahaja yang mampu saya buat. Pendapatan pun tidak menentu antara RM300 ke RM400 sebulan,” katanya. Seorang adik alami masalah rabun Sementara itu Sinar Harian difahamkan lima adiknya tinggal di Melaka, Kajang dan Shah Alam, namun tidak diketahui di mana tempat tinggal mereka dan pekerjaan yang dilakukan. Manakala abang sulungnya, Mohd Faizal, 25, difahamkan berada di Shah Alam namun sudah lama tidak mendengar khabar berita. Adik kelima Halif, Nurul Wahida, 18, kini sedang menderita penyakit rabun di tahap membimbangkan, namun disebabkan sumber kewangan tidak mengizinkan rawatan ditangguhkan untuk sementara waktu. “Saya risau lama-kelamaan matanya akan buta. Setakat ini saya belum pernah membawanya mendapatkan rawatan kerana sedar kos yang sangat besar diperlukan untuk tujuan itu,” katanya. Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lenggeng, Bustami Abu berkata, pihaknya simpati dengan derita yang terpaksa ditanggung anak muda itu. Menurutnya, pihak Giat Mara Seremban sudah datang meninjau rumah yang didirikan oleh Halif dan bersedia membantu membaik pulih rumah tersebut bagi membolehkan dia tinggal bersama adik beradiknya yang lain. “Namun, bergantung kepada bantuan apa yang kita terima sama ada bantuan membina rumah daripada Pejabat Daerah ataupun sebaliknya yang kini saya tengah tunggu keputusannya. “Malah, kemudahan bekalan air dan elektrik juga akan cuba diusahakan daripada pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian. Sementara itu dalam masa terdekat, Bustami berjanji akan cuba usahakan Halif pergi mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang diminati agar mampu memperoleh pekerjaan yang lebih merjamin masa depan. “Cuma saya amat mengharapkan bantuan daripada pihak lain untuk sama-sama membantu adiknya yang kini mengalami penyakit rabun kerana saya khuatir jika dibiarkan, ia akan menjadi bertambah teruk,” katanya. |
Lain-lain Artikel:-
Sepakat hadir sidang
Yen Yen nafi terlibat rasuah RM2 juta
Mohsin perlu dapatkan mandat rakyat
Pemuda UMNO dedah tawar-menawar PKR
Ahli Bebas tidak akan wujud parti
Rais hargai pendirian Ku Li
Barisan tidak
lobi lompat parti
Pemilihan 28 Mac selesai masalah dalaman MCA
Tujuh ahli perniagaan tidak hormat Institusi Diraja akan dilucut gelaran Datuk
Suspek bunuh kekasih reman seminggu
Waspada golongan peralat pakaian agama: Jamil Khir
Taman, kebun bunga jadi produk pelancongan baru
Kerajaan perlu masa kumpul input
Adu SPRM jika ada bukti
Eksport negara meningkat 37 peratus pada Januari: Mukhriz
Modul Matrix pulih penagih dadah sintetik





