Pengunjung : 6376 Rabu 17-3-2010 Daftar | Lupa ID/Password ID : Password:
Penduduk mohon sediakan bas

KUALA PILAH - Masalah pengangkutan awam di Pekan Kuala Pilah masih tidak ada penyelesaian walaupun pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada prebet sapu yang dikatakan memotong rezeki perkhidmatan kereta sewa di sini.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Sinar Harian rata-rata penduduk dari simpang Senaling ke Seri Menanti kecewa dan berasa terbeban apabila perkhidmatan kereta sewa seolah-olah mengambil kesempatan mengenakan harga bayaran yang tinggi.

Penduduk yang ditemui di Kampung Sri Pilah, Norasmah Amanshah, 46, berkata, masalah pengangkutan awam sekarang semakin membebankan penduduk.

Menurutnya, susah jika tidak ada pengangkutan seperti prebet sapu di kawasan kampung kerana penduduk di sini hanya bergantung harap kepada perkhidmatan itu.

“Saya sudah menggunakan perkhidmatan prebet sapu sejak empat tahun lalu. Sekiranya tiada pengangkutan di sini, susah kami (penduduk) untuk keluar ke pekan.

“Saya pula berniaga di Taman Waja, Melang. Memang waktu pagi, saya akan menggunakan perkhidmatan prebet sapu memandangkan ia murah tetapi kini tidak ada lagi,” katanya.

Tidak mampu bayar tambang yang mahal Norasmah berkata, tambang yang perlu dibayar jika dia menggunakan prebet sapu hanya RM3 berbanding kereta sewa yang menetapkan bayaran lebih daripada sepatutnya.

“Penduduk kampung tidak mampu untuk membayar tambang yang mahal kerana kami bukan daripada golongan kaya raya hingga sanggup membayar lebih daripada sepatutnya.

“Kalau kereta sewa tidak mengenakan tambang yang mahal tidak ada masalah untuk penduduk di sini memilih perkhidmatannya, tetapi sebaliknya kereta sewa terlalu mahal,” katanya.

Norasmah yang menjual nasi lemak dan kuih muih di Taman Waja, berkata, dahulu kampung ini ada pengangkutan bas yang masuk dan keluar tetapi sudah ditamatkan perkhidmatan.

“Masalah ini membelenggu penduduk kampung sejak bertahun lamanya. Saya berharap ada pihak lain yang tampil ke hadapan membantu menyelesaikan masalah pengangkutan awam di sini, bagi menggantikan prebet sapu supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Ketiadaan prebet sapu membebankan. Sementara itu, warga emas, Julia Badur, 76, berkata, sejak ketiadaan prebet sapu ia mendatangkan masalah kepadanya kerana selama ini dia hanya bergantung harap kepada perkhidmatan itu untuk pergi ke hospital.

“Setiap bulan, mak cik perlu memeriksa kesihatan kerana menghidapi penyakit darah tinggi. Sebelum jam 8.00 pagi, mak cik perlu berada di sana. Ketiadaan prebet sapu memang membebankan tambah pula bayaran kereta sewa yang mahal.

“Buat masa sekarang, mak cik meminta pertolongan daripada cucu atau saudara mara untuk membawa ke hospital,” katanya.

:Katanya, penduduk kampung di sini memang tidak ada pengangkutan lain selain motosikal.

“Walaupun ada motosikal tetapi untuk pergi jauh agak sukar memandangkan keadaan jalan yang sibuk dipenuhi kenderaan.

“Sebab itu, penduduk di sini lebih gemar menggunakan perkhidmatan prebet sapu kerana pemandunya juga orang kawasan kampung ini yang dikenali,” katanya.

Menurutnya, prebet sapu ini dapat membantu orang kampung yang tidak ada pengangkutan sendiri tetapi apa yang berlaku sekarang menyebabkan penduduk di sini seolah-olah patah kaki untuk pergi ke mana-mana kerana perkhidmatan itu sudah tiada.

:Seorang lagi penduduk, Idris Abu Bakar, 76, berkata, susah sekiranya tidak ada pengangkutan awam kerana setiap bulan perlu mengambil elaun Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pekan Kuala Pilah.

“Anak-anak bekerja dan tidak berada di kampung. Jadi memang saya meminta bantuan prebet sapu namun, keadaan ini sudah berubah.

“Prebet sapu, tambangnya tidak mahal iaitu hanya RM3.00 sahaja. Penduduk juga masih mampu membayarnya begitu juga dengan pelajar sekolah,” katanya.

Idris berharap disediakan pengangkutan lain seperti bas bagi menggantikan prebet sapu sekiranya perkhidmatan itu tidak beroperasi lagi walaupun kereta sewa masih ada.

“Kami tidak halang pihak berkuasa melakukan tugas tetapi saya mewakili penduduk kampung memohon supaya ada pengangkutan lain untuk memudahkan penduduk di sini keluar dan masuk ke Pekan Kuala Pilah.

“Hal ini kerana, pada masa dulu memang ada pengangkutan bas yang masuk ke kampung tetapi sepi begitu sahaja dan tidak tahu punca masalah tersebut berlaku,” katanya.

Pengangkutan awam tidak cukup Faridah Sulaiman, 42, berkata, masalah pengangkutan awam memang tidak akan selesai sekiranya tidak digantikan kemudahan itu.

“Setiap pagi, budak-budak sekolah terpaksa bangun seawal enam pagi untuk menunggu giliran menaiki pengangkutan sekolah (van) kerana tidak mencukupi.

“Kadangkala pemandunya terpaksa berulang alik sebanyak tiga kali untuk mengambil pelajar dan ini membahayakan keselamatan penumpang,” katanya.

Faridah berkata, sepatutnya, pihak berkaitan prihatin dengan masalah itu dan perlu menyediakan perkhidmatan bas sekolah di kawasan kampung seperti Kuala Pilah dan Senaling ke Seri Menanti.

“Seperti yang kita ketahui, penduduk kampung tidak ada pengangkutan sendiri dan hanya bergantung harap kepada perkhidmatan awam.

“Diharapkan pihak terbabit dapat mempertimbangkan rayuan penduduk kampung luar bandar yang perlu kemudahan awam (penganggkutan bas) seperti di kawasan bandar,” katanya.

Katanya, zaman sudah berubah tetapi masalah pengangkutan awan di Kuala Pilah masih tiada penghujung dan berada di tampuk lama.