• Puak Mohd Zain tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan 10 ahli G10, semalam. Puak Mohd Zain tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan 10 ahli G10, semalam.
1 /

RANTAU PANJANG - Suasana Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Rantau Panjang berubah tegang apabila beberapa perwakilan bertikam lidah ketika pemilihan 10 wakil (G10) yang akan ke Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Rantau Panjang, Sabtu depan.

Kekecohan bermula apabila wujud tiga puak antara penyokong Datuk Abdullah Mat Yasim, Datuk Mohd Zain Ismail dan Datuk Saari Mat Hussain melibatkan 153 perwakilan Puteri Umno.

Berlaku sedikit kekecohan ketika proses mengundi, yang dicadangkan tiga wakil di antara Faezah Samsudin, Norhayati Mamat dan Marie Suriani Abdullah.

Menerusi cara undian mengangkat tangan, cadangan yang diberi Faezah mewakili Abdullah memperoleh 66 undi, manakala Norhayati mewakili Mohd Zain dengan 52 undi dan Marie yang mewakili Saari mendapat 20 undi.

Namun hasil undian itu dibantah beberapa perwakilan Mohd Zain menyebabkan proses mengundi terpaksa dilakukan buat kali kedua menerusi sistem pengundian lain.

Sejurus 10 minit kemudian, pengerusi tetap terdahulu, Zuliha Zakaria berjaya mengawal keadaan dan proses penjumlahan undi dikira dengan bilangan perwakilan yang berkumpul di luar dewan.

Kemenangan masih berpihak kepada calon yang dicadangkan Faezah setelah berlaku pakatan antara perwakilan Saari dengan Abdullah.

Hasil undian kedua menunjukkan calon yang dicadangkan Faezah memenangi undian sebanyak 83, manakala calon yang dicadangkan Norhayati (53 undi) dan hanya dua menyokong calon yang dicadangkan Marie.

Pakatan ini turut menyebabkan penyokong Mohd Zain membantah sekali lagi dan menggesa pemilihan dilakukan buat kali ketiga.

Namun, ia tidak dilayan Zuliha sebaliknya beliau membuat kenyataan, keputusan itu sah dan 10 nama yang dicalonkan Faezah akan ke Persidangan Perwakilan Umno Bahagian, Sabtu depan.