• Aksah menunjukkan meter parkir yang tumbang dan rosak gara-gara perbuatan vandalisme di hadapan deretan kedai di Jalan Abdul Rahman, Chukai, pagi semalam Aksah menunjukkan meter parkir yang tumbang dan rosak gara-gara perbuatan vandalisme di hadapan deretan kedai di Jalan Abdul Rahman, Chukai, pagi semalam
1 /

KEMAMAN – Seorang pemandu lori terkejut melihat sebuah mesin parkir bermeter di hadapan deretan kedai di Jalan Abdul Rahman, Chukai, dekat sini, tumbang dan rosak ketika tiba di tempat kerjanya di kawasan itu kira-kira jam 9 pagi semalam.

Aksah Mamat, 44, berkata, dia mengesyaki mesin meter itu dirosakkan pada waktu malam selepas semua kedai di deretan bangunan tersebut ditutup.

“Orang yang melakukan perbuatan ini mungkin ingat duit syiling dalam meter ini banyak, jadi sanggup pecahkan meter parkir ini.

“Kalau niatnya mahu mencuri besi, meter ini sudah tentu lesap dan tidak akan ditinggalkan di sini selepas ia ditumbangkan,” katanya.

Menurutnya, melihat keadaan mesin meter tersebut, ia mungkin dipecahkan dengan menggunakan objek keras.

Menurut Aksah, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap mereka yang memusnahkan harta benda awam kerana ia melibatkan pembaziran wang kerajaan sekiranya banyak peruntukan perlu dikeluarkan untuk membaik pulih.

“Kebanyakan mereka melakukan perbuatan sebegini kerana mahu mendapatkan wang dengan cara mudah. Jika ia dibiarkan kemungkinan mereka boleh melakukan jenayah lebih besar.

“Pihak berkuasa terutama polis juga patut meningkatkan rondaan di kawasan ini untuk elak kes sama berulang,” katanya.

Aksah berkata, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat kepada pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk tindakan lanjut dan penguat kuasa MPK juga telah datang ke lokasi berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari semalam.