GUA MUSANG – Sebuah kompleks perniagaan yang turut dilengkapi hotel dan apartmen menelan belanja RM15 juta yang akan dibina di bandar ini bakal menjadi mercu tanda pembangunan pesat bandar Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, usaha itu sekali gus sebagai tanda perubahan bandar  ini sebagai sebuah bandar yang kedua terbesar di Kelantan selepas Kota Bharu.

Menurutnya, kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan projek pembangunan di bandar ini untuk menunaikan hasrat rakyat menikmati kemajuan.

“Bandar ini bukan sahaja dapat dibangunkan dengan pelbagai projek pembangunan seperti kompleks perniagaan itu, malah bidang lain termasuk industri besar.

“Keadaan itu bersesuaian dengan kedudukan bandar yang strategik selain boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk,” katanya ketika berucap pada majlis Pecah Tanah Pembinaan Kompleks Perniagaan, Hotel dan Apartmen di Jalan Persiaran Raya, di sini, petang semalam.

Projek terbesar yang mengambil masa dua tahun untuk disiapkan itu hasil usahasama Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan Syarikat Pembinaan Bandar Baru Gua Musang (BBGM) Sdn Bhd.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan Yang Dipertua MDGM, Nazran Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan negeri sudah merancang untuk menarik pelabur membuka pelbagai industri berat di bandar ini dan bakal mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan.

Namun, perkara itu masih dalam rundingan dan mungkin akan membawa kejayaan sebaik ia selesai perbincangannya nanti dengan menentukan syarikat yang ada keupayaan berbuat demikian.

“Kita mahu kerajaan tempatan kususnya MDGM membuka lebih banyak peluang kepada syarikat bagi usahasama membangunkan bandar ini,” katanya.

Mohd Amar berkata, selain bandar ini, sebuah lagi bandar baru akan diwujudkan di Gua Musang dan kawasan dikenal pasti adalah di Ladang Sungai Terah.

Katanya, perkara itu sudah lama dirancangkan kerajaan negeri berikutan kawasanya strategik terletak di Jalan Gua Musang-Jeli, tetapi masih menunggu beberapa perkara lain sebelum dapat memulakan projek berkenaan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :