• Melutut di sisi mayat kekasih Teman lelaki tidak mahu berganjak di sisi mayat mangsa.
1 /

GEORGETOWN - Seorang kerani sebuah kilang di Bayan Lepas maut selepas tercampak dari tempat duduk penumpang apabila kereta yang dipandu teman lelakinya terbabas di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Syafrina Aqmar Mohd Rafie, 24, maut serta merta di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan seluruh anggota badan manakala teman lelakinya yang dikenali sebagai Zikri cedera ringan di bahagian kepala.

Difahamkan, Syafrina baru sahaja menerima gaji dan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar membeli belah di sebuah pasar raya di sini.

Dalam kemalangan itu, kereta yang dinaiki pasangan terbabit remuk hingga terkeluar enjin selepas melanggar pembahagi jalan sebelum berpusing dan merempuh sebuah kereta lain.

Sementara itu, suasana pilu menyelubungi tempat kejadian apabila teman lelaki mangsa enggan berganjak dan menangis di samping mayat teman wanitanya.

Teman lelaki mangsa yang ketika itu baru diberikan bantuan awal dilihat berlutut di sisi mayat teman wanitanya.

Lebih memilukan lagi apabila ibu serta ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian dan mereka hanya mampu menangis dan saling berpelukan.

Dalam keadaan menahan kesakitan, teman lelaki mangsa enggan berganjak walaupun diminta ahli keluarga mengikut ambulans untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Bagaimanapun, selepas dipujuk, pemuda terbabit akhirnya dapat menerima hakikat dan kemudian dibawa menjalani rawatan di hospital.