BEKAS pelumba negara dalam kategori Moto3, Zulfahmi Khairuddin kini kembali ke kejuaraan Moto2 bagi menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah yang ini bersaing di kelas perdana MotoGP dengan pasukan Monster Yamaha Tech3.

Bagi Zulfahmi, kepercayaan ini merupakan sesuatu yang menakjubkan apabila menerima peluang sebegini.

“Terima kasih kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC), terutamanya Datuk Razlan kerana sokongan berterusan dan kepercayaan kepada saya.

Sangat gembira untuk kembali ke paddock MotoGP. “Saya tidak merasakan ia satu langkah besar buat saya dari (kelas) Supersport ke Moto2 tetapi sudah pasti ia satu persaingan yang sengit dan saya perlu melakukan lebih banyak pusingan nanti,” jelasnya.

Tahun lalu, Zulfahmi mengakhiri pembabitannya dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan untuk tahun ini memikul tugas selaku mentor untuk program kendalian Litar Antarabangsa Sepang (SIC), ‘Impian ke MotoGP’.

Zulfahmi, 26, akan mengisi tempat Hafi zh di SIC Racing Team dan penampilan pertamanya dapat dilihat pada ujian rasmi Moto2 di Sirkit Ricardo Tormo di Valencia, Sepanyol, bermula 6 Februari ini.

Mula bergiat secara kompetitif dalam Kejuaraan Motosikal Dunia sejak 2009, menyertai kelas 125cc sehingga 2011 sebelum kelas berkenaan diangkat kepada Moto3 dari tahun 2012 hingga 2015. Anak kelahiran Banting, Selangor itu kemudiannya menyertai kelas Supersport di WSBK pada tahun 2016 hingga 2017.