ZULKIFLI Ariffin atau lebih dikenali sebagai  Zul Ariffin merupakan seorang pelakon dan model lelaki Malaysia.

Mula bergiat aktif dalam bidang lakonan pada 2008 menerusi watak pembantu lakonannya dalam siri drama Astro Ria, Awan Dania dan kemudiannya beralih ke peranan utama sebagai Inspektor Ashraf dalam siri drama kepolisan paling lama bersiaran di RTM, Gerak Khas.

Membuat kemunculan filem pertamanya menerusi watak Inspektor Zam dalam filem Evolusi KL Drift 2 pada 2010. Impaknya dalam dunia lakonan terus menjadi perhatian ramai menerusi gandingan bersama Ayda Jebat dalam Rindu Awak 200 peratus,  M.A.I.D .

Kini lakonannya dalam filem terbarunya, Tombiruo: Penunggu Rimba yang ditayangkan pada 12 Oktober 2017 lalu terus menaikkan namanya dalam persada seni lakonan.

Timba pengalaman

Zul Ariffin ternyata sangat komited dan puas dengan pembabitannya dalam naskhah tersebut yang turut menyaksikan gandingannya bersama-sama aktor Farid Kamil, Faizal Hussain dan Nabila Huda yang dianggapnya mampu memberikan dimensi baharu kepada pengikut novel tersebut.

Sepanjang 60 hari tempoh penggambaran, Zul Ariffin bukan sahaja menimba pengalaman baharu daripada pengarah Nasir Jani dan Seth Larney malah turut berjaya membuka mindanya terhadap aspek lakonan yang perlu diberikan lebih perincian berbanding drama dan telefilem.

“Badan saya semakin susut sebaik sahaja masuk ke set penggambaran. Kalau nak diikutkan memang saya perlu mengurangkan berat badan sejak awal lagi tetapi apabila melibatkan penggambaran melibatkan banyak aksi lasak tak sangka pula berat turun mendadak hampir 15 kilogram.

“Namun jika turun terlau banyak juga pun takut memberikan kesan memandangkan kebanyakan watak saya di dalam filem ini berbaju. Saya perlu jaga badan saya agar kekal sehingga selesai penggambaran. Gusar penonton melihat perubahan bentuk badan berlainan dari satu babak ke babak pula,” jelasnya.

Kepuasan nyata

Mengakui puas menjalani proses penggambaran filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Ramlee Awang Murshid ini lebih-lebih lagi kerana hampir semua aksi berbahaya dilakukan sendiri.

“Memang benar filem kali ini mempunyai risiko cedera yang sangat tinggi. Pihak produksi memang ada menyediakan pelakon lagak ngeri tetapi saya senang memilih untuk melakukan semuanya sendiri.

“Antara babak yang saya buat termasuklah babak terjun dalam api dan babak ke dalam air. Saya rasa gembira dan berbaloi kerana semuanya berjalan lancar dan seperti dirancang,” kata aktor berasal dari Taiping ini.

Komitmen sepenuhnya

“Sebenarnya, agak sukar saya terjemahkan watak Ejim. Lagi pula, watak ini terlalu misteri dan ia hanya bercakap apabila perlu. Jadi, untuk melaksanakannya saya bukan sahaja perlu membaca novel, tetapi juga perlu membuat sedikit rujukan pada penulisnya, Ramlee.

“Saya cuba bawa watak yang dah ada peminat sejak 20 tahun lalu, karakter ini sangat mencabar dan keputusan terima watak ini juga kerana mahu mencuba sesuatu yang baru. Memang sangat mencabar kerana keadaan saya menjadi sangat teruk ketika perlu menurunkan berat badan,” jelas pelakon yang lahir pada 25 Oktober 1986.

Harapan

“Saya mula menerima tawaran untuk berlakon dalam filem ini adalah kerana naskahnya yang berkualiti dan bagus serta ditambah dengan barisan tenaga produksi yang terlibat membuatkan saya lebih teruja untuk membabitkan diri dalam filem ini.

“Sokonglah filem tempatan dan jadikan filem Tombiruo ini sebagai sebuah naskah yang tidak mungkin dapat anda lupakan selamanya,” jelasnya.

PROFIL:
Nama penuh : Zulkifli Ariffin
Nama panggilan : Zul Ariffin
Tarikh lahir : 25 Oktober 1986
Umur : 31 tahun
Kerjaya : Model, Pelakon