BERGELUMANG dalam dunia permotoran hampir 24 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat buat, Muhamad Zamry Abu Samah yang kini membina empayarnya sendiri dibawah Moto Varese Asiatic (MVA) Sdn Bhd yang merupakan pemilik hak pengedaran jenama MV Agusta di pasaran tempatan.

Pelbagai halangan dan cabaran telah ditempuhinya. Berlandaskan kepada pegangan keberanian dan fokus kini Muhamad Zamry yang memegang jawatan Pengarah Urusan MVA turut membina empayar baharu dalam dunia perniagaan melalui minuman kopi yang diberi nama Richiamo.

Sisipan Maskulin yang berkunjung pejabatnya di Batu Caves, Gombak Selangor baru-baru ini tidak melepaskan peluang diberikan dengan menyelami perjalanan kariernya untuk tatapan pembaca.

Latar belakang

Dunia automotif ini sudah sebati dalam diri, bermula pada 1993 saya telah bergelumang dalam industri ini ketika berusia 22 tahun sebagai mekanik di Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd atau lebih dikenali Modenas.

Bermula dari sinilah dengan kelulusan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Jitra, Kedah perjalanan hidup saya terus berkembang dengan menjawat jawatan lebih tinggi dalam Modenas dan juga beberapa syarikat motosikal pada ketika itu.

Tetapi jiwa inginkan cabaran dan kerjaya lebih besar mendorong untuk membuka empayar sendiri bersama rakan juga dalam dunia permotoran serta perniagaan minuman kopi hinggalah sampai ke tahap hari ini.

Cabaran kehidupan

Bagi saya untuk melakukan sesuatu perubahan, yang penting ialah perlukan keberanian dan keputusan yang tepat.

“Jika lihat kepada perjalanan kehidupan saya sebelum berada ditahap ini, boleh dikatakan berada dalam zon selesa selaku Pengurus Besar Jualan di Modenas, KTM dan Naza.

Mengapa saya perlu bersusah payah untuk keluar dari zon selesa. Buat apa nak cari jalan susah bukan?

“Inilah sebenarnya diri saya yang gemarkan cabaran dan saingan, selagi belum mencapai kepuasan, selagi itu saya akan mencuba melakukan sesuatu dengan penuh yakin dan fokus untuk berjaya,” jelasnya.

Luaskan perniagaan

Selepas dianggap berjaya dalam dunia permotoran ketika ini, Muhamad Zamry mula memperluaskan bidang perniagaannya dalam minuman kopi yang diberi nama Richiamo.

“Perniagaan ini baru dua tahun beroperasi dan Alhamdulillah kami telah memiliki beberapa cawangan di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Bisnes minuman ini kami bergerak dari satu peringkat ke peringkat lebih tinggi, penerimaan sangat baik dan tiga lagi cawangan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Lapangan Terbang Subang dan Ulu Tiram akan dibuka penghujung Oktober nanti.

Harapan masa depan

Pastinya saya mengharapkan MVA Sdn Bhd semakin dikenali dalam dunia automotif di Malaysia, untuk sampai ke tahap itu bukanlah satu tugas mudah dan kami kini giat memastikan impian tersebut menjadi kenyataan.

Bagi Richiamo pula, pembukaan beberapa cawangan baharu akan mencetuskan fenomena pilihan kepada penggemar minuman kopi. InsyaAllah.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :