KEJOHANAN Mendaki Tembok Tiruan Antara Universiti (Varsity Artificial Wall Climbing) 2017 yang berlangsung di pusat membeli belah AEON Shah Alam baru baru ini berjaya menarik penyertaan 53 pelajar universiti dari institusi pengajian awam dan institusi pengajian swasta seperti UIAM,UUM, UiTM, UTHM, MMU, MSU, UniKL MIAT, TAR UC, Taylors dan Monash.

Dianjurkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia  dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, kejohanan ini dibahagikan kepada enam kategori membabitkan disiplin Bouldering Intermediate (Wanita), Bouldering Intermediate (Lelaki), Bouldering Open (Wanita), Bouldering Open (Lelaki), Speed Open (Wanita) dan Speed Open (Lelaki).

Penolong Pegawai Sukan UIAM, Mohd Rizal Hashim berkata kejohanan ini bertujuan untuk menarik minat generasi muda khususnya pelajar universiti untuk menyertai acara sukan yang mampu meningkatkan kemampuan fizikal dan mental.

“Walaupun dianggap sukan lasak, wall climbing sebenarnya sukan yang tidak sukar dicuba asalkan ada pengetahuan mengenai teknik dan kemahiran asas tertentu. Sedikit kelainan digarap dalam edisi keenam pada tahun ini dimana kejohanan pada tahun ini berlangsung di dalam kompleks membeli belah tidak seperti kelaziman sebelum ini yang berlangsung di Taman Cabaran Putrajaya.

“Ini adalah untuk merasai angin di tempat baru selain bertunjangkan matlamat utama mempromosikan sukan wall climbing ini sendiri. Kejohanan ini juga diharap menjadi medan terbaik mengetengahkan bakat baharu seterusnya melahirkan lebih ramai atlet bagi mewakili negara dalam sukan berkenaaan,” ujarnya ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan wakil dari Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Tony Azman Hassan.

Dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari ini, Muhammad Taqiuddin Muhd Zulkifli dari Management and Science University (MSU) unggul apabila muncul johan dalam dua kategori iaitu Bouldering dan Speed  Open bagi kategori lelaki. Kategori wanita menyaksikan penguasaan peserta dari TAR UC iaitu Tan Jie Yi yang muncul juara juga bagi acara Bouldering dan Speed.

Mengekori di tempat kedua bagi acara Bouldering Open (Lelaki) adalah Mohd Izzat Mohd Shukor (MSU) dan Hanzalah Mohamad (UIAM) manakala acara wanita menjadi milik Wann Iryani Arifin (UUM) dan Nur Asyiqin Zakaria (UIAM).

Bagi acara Speed Open (wanita), Wann Iryani Arifin meraih tempat kedua dan Wan Athirah Hidayah Ahmad Fuzli (MMU) di tempat ketiga. Tempat kedua kategori lelaki diraih oleh Mohd Izzat Mohd Shukor (MMU).