TARIKH 22 Ogos merupakan hari bermakna buat Khairul Hafiz Jantan apabila dinobatkan sebagai atlet terpantas di Asia Tenggara selepas meraih emas dalam acara 100 meter pada Sukan Sea di Kuala Lumpur Ogos lalu.

Khairul Hafiz atau dikenali dengan gelaran The Speedy Jantan, mencatat 10.38 saat, di depan pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s) manakala pelariThailand, Kritsada Nasuwun (10.43) di tempat ketiga.

Kejayaan gemilang tersebut meletakkannya sebaris dengan pemenang emas negara dalam acara tumpuan itu, termasuk Tan Sri Dr M Jegathesan (1965), G Rajalingam (1967) dan Nazmizan Muhammad(2003).

Riadah bersama keluarga

Gemar menghabiskan masa terluang dengan membantu keluarga, Khairul Hafiz kini memasang impian mencari pengalaman dan pendedahan dalam acara pecutan 60 meter dalam Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan di Birmingham dari 1 hingga 4 Mac depan.

Walaupun baru kali pertama menyertai kejohanan berkenaan tetapi anak jati Kampung Berangan Enam,Umbai, Melaka ini berazam melakukan yang terbaik.

“Kecederaan hamstring saya sudah 100 peratus sembuh dan saya sudah menyambung semula latihan untuk persiapan menghadapi dua kejohanan besar tahun depan iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Segalanya kini berjalan dengan lancar dan mengharapkan dapat melakukan yang terbaik buat diri sendiri dan juga negara,” katanya yang ketika ditemui pada majlis pelancaran Flagship Superstore Sports Direct, di Bukit Bintang,baru-baru ini.

Kejayaan manis

Pastinya meraih pingat emas pada temasya Sukan Sea antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakannya malah menganggap kejayaan ini adalah hasil usaha semua pihak yang membantunya sejak dari awal.

Khairul Hafiz menamatkan kemarau penantian 14 tahun negara.

“Memastikan emas dalam gengaman amat bermakna buat saya, berhadapan dengan pelari lain yang memiliki rekod baik bukanlah mudah, namun sokongan padu semua pihak membantu saya hinggalah berada pada tahap ini,”jelasnya yang merupakan anak kedua dari tiga adik beradik.

Latihan

Memiliki ketinggian 173 sentimeter,atlet berusia 19 tahun ini turut memaklumkan sebagai persiapan menyertai kejohanan tahun depan, dia akan menyambung latihan di Jerman selama sebulan bermula Februari depan.“Saya tidak takut berlatih di Jerman kerana ia sangat baik buat saya dan yakin ia mampu membantu menghadapi Sukan Komanwel dan Asia,” ujarnya.