SYAFIQ Yusof anak kepada sutradara tersohor Datuk Yusof Haslam ini tidak perlu dipertikaikan lagi bakat pengarahannya. Satu persatu hasil tangannya menjadi kegilaan ramai penggemar dan pengikut filem tempatan.

Lihat sahaja kejayaan besar filem aksi komedi Abang Long Fadil, rata-rata tidak mampu melupakan kehebatan filem ini yang berterusan melekat di hati penonton.

Dia ialah seorang pengarah muda yang bakal bersinar seperti bapa juga abangnya, punya visi dan pandangan tersendiri mengenai industri perfileman negara serta tidak takut untuk melangkau transformasi sekaligus menghasilkan suatu di luar norma klise segelintir pengarah kita.

Setiap penghasilan karyanya masih berbaur nafas ketimuran walau dihidangkan seleksi teknologi hebat yang bergerak seiring kehendak penonton masa kini.

Jadi sasaran

Sering kali kita melihat perbandingan di antara dua beradik ini iaitu Syamsul dan Syafiq dalam arena pengarahan  lem negara, keduanya hadir dengan karya hebat dan sangat berbisa.

Tidak dinafikan Syamsul lebih menyerlah kerana sudah tiga kali menggenggam trofi anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem, namun Syafiq sekadar menyandang Pengarah Harapan pada FFM ke-26 dan menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Pengarah Paling Termuda melalui filem sulung arahannya, SAM, namun perjalanannya masih hijau dan banyak lagi yang perlu dia pelajari.

“Tiada apa yang perlu dikejarkan dengan anugerah, mungkin itu sebagai pemangkin semangat berganda buat kita yang sudah berhempas pulas menghasilkan filem, namun tujuan utama setiap pengarah adalah memastikan filem yang dihasilkan mendapat sambutan dan menjengah tangga box ofice!

“Disebabkan itulah mengapa ramai penerbit dan pengarah bersatu dalam mempromosikan hasil kerja mereka sebaiknya, mencari jalan agar orang terus datang ke panggung, membeli tiket untuk menonton filem mereka.

Sesebuah  filem itu haruslah dilahirkan seiring dengan nilai komersial, identiti, prinsip dan budaya demi menjanjikan filem mesra penonton,” ujar Syafiq.

Kualiti terbukti

Syafiq turut membuktikan dia bukanlah pengarah yang menghasilkan sebuah karya filem syok sendiri dan ini terbukti dengan kehebatan sekuel Abang Long Fadil yang ditayangkan pada 2014.

Abang Long Fadil 2 juga adalah filem kelima arahanSyafiq selepas SAM (2012) dan menggondol anugerah Filem Box Office dengan kutipan sebanyak 17.3 juta, Villa Nabila (2015), Desolasi (2016).

Selepas ini Syafiq bakal mempertaruhkan  filem KL Special Force bersama pelakon sensasi Fattah Amin.

“Saya juga bersyukur kerana tiada satu pun  filem terbitan Skop Production mencatatkan kerugian. Kalau tidak untung pun mungkin filem Desolasi yang ditayangkan pada 8 Disember 2016, itu pun hanya kerana kos penerbitannya yang tinggi sahaja, namun menerusi filem tersebut telah memenangi anugerah Kesan Khas Visual Terbaik di FFM ke-29, itu sudah cukup buat saya gembira,” tegasnya.

Ambil kira pendapat netizen

“Saya bukanlah pengarah yang cepat melenting dan menghukum setiap orang yang memberikan kritikan.

Semua orang ada pendapat masing-masing dan saya sebagai manusia tidak mampu memuaskan hati semua. Apa yang boleh saya berikan adalah dengan mendengar dan berikan sebuah karya mengikut kehendak mereka.

Pernah satu ketika saya mendapat kritikan kerana menghasilkan karya yang kurang mendidik pemikiran masyarakat, kurang nilai keagamaan dan lagi kritikan sebegitu.

Jadi saya cuba hasilkan sebuah  filem yang benar-benar mempunyai nilai kemanusiaan mengikut kehendak mereka.

Tetapi hasilnya tidak memberangsangkan, mereka tetap tidak ke panggung.

“Desolasi adalah sebuah karya saya yang sarat dengan pengajaran dan benar-benar mempunyai mesej tersirat, mungkin disebabkan ia kelihatan sedikit berat penonton sukar untuk menerima baik.

“Filem ini juga membabitkan 570 syot CGI (imej janaan komputer) dengan bajet keseluruhan hampir RM3 juta.

Mengambil masa yang lama untuk disiapkan dan berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran filem ini yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Semua itu adalah asam garam apabila anda duduk di kerusi pengarah, ada sahaja yang tidak kena di mata penonton, jangan marah sebaliknya berikan lebih untuk mereka!”

Filem kita

“Saya mungkin bukan orang yang layak untuk komen perkara ini, apa yang saya lihat filem kita semakin mendapat tempat dan banyak yang berkualiti kebelakangan ini, mungkin disebabkan tidak mudah untuk melahirkan filem, pengarah-pengarah baru dan lama bersatu untuk menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

“Filem kita adalah lambang mentaliti masyarakat kita. Pengarah diberi mandat untuk cipta sebuah karya yang boleh menyatupadukan mereka, pengarah juga tidak boleh berpuas hati dengan setiap hasil  filem yang dikeluarkan, cuba berikan penambahbaikan dalam hasil kerja yang akan datang.”

“Faktor kejayaan sesebuah  filem itu pula bergantung pada jumlah bajet yang disediakan, kekuatan rangka promosi, jalan cerita serta pelakon yang baik,” akhirnya.