KEBERANIAN penerbit dan pengarah, Michael Ang mengambil risiko menghasilkan drama bersiri My Coffee Prince yang diadaptasikan dari drama bersiri popular Korea ‘Coffee Prince’ dalam berbahasa Melayu ternyata menimbulkan fenomena tersendiri.

Drama bergenre romantik komedi ini turut menggunakan bakat- bakat baharu bagi  menghiasi jalan ceritanya dan salah seorang pelakon baru yang bersinar ialah Syafiq Ahmad yang menjadi penghias Maskulin kali ini.

Rezeki

Melihat penglibatannya dalam drama bersiri tersebut merupakan satu rezeki buatnya untuk mencipta portfolio dalam dunia lakonan, Syafiq merasakan peluang diberikan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

"Sebelum ini pun, saya memang sudah biasa menghasilkan video lakonan untuk kandungan digital. Keduanya adalah cabang yang sama, apa yang membezakan ia perlu dilakukan secara lebih serius kerana melibatkan produksi yang lebih besar dan barisan bakat profesional yang dikenali ramai.

“Dalam drama ini saya membawakan watak Hadi, seorang yang gila-gila dan lurus bendul. Pengalaman berlakon dalam drama bersiri ini pula merupakan pengalaman pertama buat saya berlakon di kaca televisyen dan ia satu yang menyeronokkan,” jelasnya.

Apa yang anda cari di dalam industri?

Melibatkan diri di dalam industri ini bukanlah suatu yang dijangka, Syafiq diberikan tawaran lakonan ini pun secara tidak sengaja oleh pengarahnya Micheal Ang.

“Micheal Ang banyak mengajar saya untuk membawakan watak Hadi dengan sebaiknya. Marah di set itu adalah perkara biasa, apatah lagi saya masih baru dengan persekitaran ini. Apa yang saya mahukan dari industri hanyalah penerimaan dan saya mampu menyumbangkan bakat yang saya ada buat tontonan masyarakat, selain mahukan lebih banyak karya menarik bagi mewarnai lagi industri seni tempatan,” katanya.

Peranan media sosial

“Di media sosial ia memberikan cabaran yang berbeza kerana waktu itu masyarakat masih belum mengenali saya secara lebih dekat, selepas berlakon, orang semakin mengenali dan jumlah tontonan video saya juga meningkat.

“Bila bekerja dengan media sosial ini, segalanya akan jadi bual mulut orang, serta jangan mudah sentap dengan apa yang dikatakan netizen. Jadi diri sendiri dan berikan hasil kerja yang produktif,” tegasnya.

Cabaran pendatang baru?

“Sebagai pendatang baru, saya masih terlalu banyak untuk saya pelajari, saya tidak berat mulut untuk belajar dan bertanya kepada senior. Cabaran terawal adalah penerimaan penonton terhadap lakonan saya, selain takut dengan segala kritikan dan gosip yang mungkin dilalui pada masa mendatang.

“Saya sudah bersedia dengan semua itu, lagipun langkah saya baru sahaja bermula, jadi saya menganggap setiap apa yang berlaku nanti sebagai proses pembelajaran yang semakin hari semakin mematangkan kerjaya,” ujar Syafiq.

Idola

“Paling mengagumi Dato Rosyam Noor kerana dia adalah lagenda buat saya. Bagi saya watak kepadanya, pasti dia mampu realisasikan dengan berjaya. Saya mahu dilihat versatil sepertinya, tidak kekok dan bergaya.”

Perubahan kehidupan

“Sejak melibatkan diri secara serius, saya rasakan saya seorang yang lebih berhati-hati dalam berhata-kata serta menjadi lebih berdisiplin dalam bertugas. Disebabkan berlakon dengan mereka yang lebih senior, saya tidak boleh menyusahkan mereka, jadi saya harus lakukan sebaik boleh dalam setiap scene yang memerlukan saya berdialog. Penyampaian harus natural dan tidak dibuat-buat.

Persediaan

“Imej pembawaan diri kepada umum. Saya masih sama seperti sebelum ini, hanya perlu lebih mengawal diri dan banyak menonton hasil kerja pelakon lain sebagai rujukan.

“Saya tidak boleh memandang rendah pada pelakon lain, jadi saya cedok segala ilmu yang ada bagi mempersiapkan diri saya sebagai pelakon baru yang serba boleh.” jelasnya yang mengakhiri perbualan.