LIGA Sepak Takraw (STL) sememangnya liga tersohor negara ini yang sentiasa menampilkan pemain-pemain hebat kini kembali bagi musim keempat mulai 29 September ini di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor dengan beberapa ciri format baharu ditampilkan menerusi pengenalan Piala Juara-juara STL.

Mirip Piala Sumbangsih Liga Malaysia (bola sepak), STL turut akan menyaksikan aksi pembuka tirai antara juara Divisyen Perdana 2016, Penang Panthers dan juara Divisyen Satu 2016, Perak Bisons (musim lalu Perak The Bos Gaurus).

Enam lagi pasukan Divisyen Perdana ialah naib juara musim lalu, Kuala Lumpur Thunder, ATM Guardians, Terengganu Turtles, Johor Tigris, Kelantan Warriors dan satu lagi pendatang baharu yang dinaikkan dari Divisyen Satu, Selangor Pistons.

12 pasukan pula bakal bertarung demi dua slot teratas Divisyen Satu STL 2017 bagi mengikut jejak Perak dan Selangor seperti musim lalu, antaranya PDRM Defenders dan Perlis Vipers selain pastinya Kedah Eagles dan Melaka Titans, bekas pasukan Divisyen Perdana.

Lima terbaik Divisyen Perdana bakal digabungkan pula dalam Piala Juara-juara STL 2017 dengan tiga pasukan jemputan antarabangsa iaitu dari Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail mengumumkan format baharu STL 2017 yang akan menjangkau sembilan minggu sehingga 3 Disember ini, disusuli Piala Juara-Juara STL pada 23 Disember.

“Kami juga sedang menimbangkan penyertaan pemain import, namun masih perlu memikirkan peluang pendedahan depan tenaga tempatan kerana kebanyakan pasukan mungkin hanya berminat mengambil tekong,” katanya.

“Saya percaya satu hari nanti, pengisian STL ini mampu dieksport ke luar negara seperti mana bola sepak Liga Perdana England (EPL) atau liga kriket India,” katanya.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Menara KBS, Putrajaya pada 25 Julai lalu.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin mengakui peranan penting STL dalam melahirkan bakat-bakat terbaik yang akan membantu meningkatkan kualiti liga serta sukan sepak takraw sendiri.

“STL adalah satu platform terbaik pemain mempamerkan bakat tersembunyi mereka yang mana akan membantu mereka dalam membina karier di dalam sukan ini dan tidak mustahil bakal mendapat tempat dalam pasukan kebangsaan.

“Ini sudah tentu memberi nilai tambah kepada sukan sepak takraw dan liga ini sendiri. Lagipun kita boleh lihat sendiri nanti pemain yang beraksi dalam STL akan mewakili negara dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :