APAKAH yang menyebabkan kemandulan oleh lelaki? Faktor kesihatan? Pemakanan? Aktiviti fizikal? Perbezaan tak penyebabnya kemandulan lelaki dan wanita?

Kesuburan seseorang lelaki itu bergantung sepenuhmya kepada kuantiti dan kualiti sperma yang dihasilkan olehnya. Jika salah satu faktor ini terganggu, adalah sukar untuk seorang lelaki itu mencapai kehamilan.

Kemandulan di pihak lelaki boleh di kenalpasti apabila, setelah kedua-dua belah pihak diuji, masalah dikenalpasti berada di pihak suami. Diagnosis ini dicapai apabila analisa sperma menunjukkkan kekurangan kuantiti atau kualiti sperma.

Kualiti sperma ditentukan oleh kadar pergerakan sperma. Pergerakan yang laju dan kehadapan amat penting untuk sperma bergerak dari faraj ke destinasi di mana telur berada iaitu di dalam tiub fallopio. Bentuk kepala dan ekor sperma juga penting untuk ia memasuki telur di dalam proses persenyawaan.

Terdapat pelbagai faktor yang membolehkan kuantiti dan kualiti sperma itu terganggu dan menyebabkan kemandulan seseorang lelaki.

Kemandulan lelaki adalah penyebab di dalam 50 peratus dari seluruh masalah fertiliti yang di hadapi oleh setiap pasangan.

Kuantiti sperma boleh berkurangan apabila:

• Masalah pembentukan sperma di dalam testis

• Ini boleh disebabkan oleh masalah genetik, infeksi, pengembangan salur darah, ubat, traumadan rawatan kanser seperti kemoterapi dan radioterapi.

• Masalah saluran pengaliran sperma dari testis ke dalam air mani.

• Ini disebabkan oleh infeksi, pembekakan kelenjar prostat, vasektomi (proses pemandulan elektif) atau dilahirkan tanpa saluran untuk pengaliran sperma ke dalam air mani.

• Masalah hormon juga boleh menyebabkan kuantiti sperma berkurangan.

• Masalah seksual seperti masalah ereksi, tidak boleh mencapai klimaks, kecederaan saraf atau ubat-ubatan yang di ambil juga boleh menyebabkan masalah kesuburan di pihak lelaki.

Adakah kita boleh mengetahui ketidaksuburan pada usia berapa? atau memang sejak dilahirkan? Ciri-ciri seseorang lelaki itu tidak subur?

Selalunya masalah fertiliti kaum lelaki tidak mempunyai sebarang tanda- tanda.

Hubungan kelamin, ereksi dan ejakulasi berlaku tanpa sebarang masalah. Kuantiti air mani juga tidak melambangkan masalah fertiliti seseorang lelaki.

Masalah ini selalunya hanya boleh diketahui apabila seorang lelaki itu membuat ujian sperma apabila pasangan itu tampil dengan masalah untuk mencapai kehamilan.

Oleh itu adalah dinasihatkan supaya setiap pasangan yang telah berkahwin selama setahun dan masih belum mencapai kehamilan selepas satu tahun, harus berjumpa dengan pakar fertiliti supaya pemeriksaan boleh dilakukan ke atas kedua-dua pihak.

Jika si isteri telah berumur 40 tahun atau telah diketahui mempunyai masalah ginekologi seperti kitaran haid yang tidak tetap, endometriosis, fibroid atau pembedahan ovari di masa terdahulu, mereka dinasihatkan untuk berjumpa doctor lebih awal, iaitu 6 bulan selepas mencuba untuk hamil secara semulajadi.

Senaman memastikan pengaliran darah yang bagus ke seluruh badan terutamanya ke organ reproduktif.

Bagaimanakah cara untuk mengelakkan kemandulan atau ketidaksuburan sperma di kalangan kaum lelaki? Tip sihat yang boleh diamalkan oleh seorang lelaki?

Yang paling penting ialah untuk berjumpa pakar fertiliti segera seperti yang disarankan di atas untuk mengesan masalah kesuburan dan puncanya supaya rawatan yang sesuai boleh diberikan.

Jika sesuatu masalah yang memerlukan rawatan IVF untuk mencapai kehamilan, adalah lebih baik jika dilakukan di peringkat awal kerana kejayaan IVF itu sangat bergantung kepada umur pasangan wanit.

Masalah ketidaksuburan tidak perlu dijadikan stigma untuk menghalang seseorang itu, lelaki atau perempuan untuk tampil mendapatkan nasihat dan rawatan doktor. Masalah kesuburan perlu dilihat seperti penyakit-penyakit lain yang perlu dirawat.

Di kala ini, terdapat pelbagai teknik-teknik yang boleh membantu pasangan untuk mencapai kehamilan. Yang penting pasangan itu berjumpa pakar dengan segera tanpa berlengah-lengah kerana tindak balas kepada rawatan lebih baik jika pasangan perempuan belum meningkat umurnya.

Dr. Sumithra Devi Valiapan, Pakar Obstetrik, Ginekologi dan Pakar Fertiliti, Sunfert International Fertility Centre

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :