HUJUNG minggu lalu, berakhirlah sudah episod perlumbaan kereta berprestij, Formula Satu (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selepas 19 tahun penganjurannya di Malaysia yang dibuka secara rasmi pada 7 Mac 1999 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dan perlumbaan GP F1 Malaysia yang pertama diadakan pada 17 Oktober 1999.

Pastinya litar sepanjang 5.543 kilometer (km) itu mempunyai identiti tersendiri dengan lapan laluan lurus termasuk dua laluan panjang untuk memberi kelajuan tinggi. Sementara lebar litar ini adalah 16 meter yang membolehkan peluang mencukupi untuk pelumba memotong yang  direka cipta oleh arkitek dari Jerman, Hermann Tilke.

Penganjuran F1 di Sepang yang menyaksikan acara hebat serta mengujakan sejak 1999 itu berakhir penuh sentimental, mengukir sejarah litar perlumbaan yang mencabar bukan sahaja dari segi reka bentuk trek perlumbaan tetapi juga cuaca tidak menentu untuk meletakkan Malaysia di peta dunia dalam sejarah penganjuran Formula 1.

Timbul persoalan

Kini persoalan timbul difikiran kalangan rakyat Malaysia adakah SIC akan menjadi projek Gajah Putih selepas tamatnnya penganjuran F1 di Malaysia. 

Merungkai persoalan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan penamatan kontrak penganjuran perlumbaan F1 tidak akan menjadikan litar berkenaan sebagai projek gajah putih kerana pelbagai sukan permotoran lain akan dibangunkan.

F1 memberi pengalaman dan kenangan penuh bermakna kepada SIC dan juga peminat sukan permotoran di Malaysia.

Dalam sidang medianya semasa menyaksikan perlumbaan terakhir F1 di Litar Sepang, beliau berkata kerajaan meletakkan matlamat untuk sukan permotoran lain dibangunkan bagi menyaksikan lebih banyak penyertaan warga tempatan sebagai pelumba.

Menurutnya, pihak kerajaan dan menerusi promoter perlumbaan, SIC, kini dalam proses menyusun acara lain untuk diadakan di litar itu.

Najib menegaskan kontrak yang terpaksa ditamatkan berikutan penurunan ketara hasil pulangan kepada negara berbanding kos penganjurannya, tidak bermakna penganjuran F1 tidak boleh dipertimbangkan pada masa depan, dengan syarat keadaan ekonomi adalah baik.

SIC sudah mempunyai beberapa perancangan untuk mengoptimumkan penggunaan kemudahan yang ada untuk aktiviti permotoran sama ada bertaraf antarabangsa mahupun tempatan.

Jadi tumpuan

Perancangan segera turut dilaksanakan SIC untuk memastikan litar tersebut terus menjadi tumpuan peminat tempatan dan antarabangsa apabila giat merangka pelbagai program untuk memastikannya terus releven pada masa kini.

Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya berkata, antara aktiviti yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ialah pemasangan lampu limpah bagi tujuan perlumbaan malam, dengan projek pemasangan dijadual siap sepenuhnya awal tahun hadapan.

Sebahagian pelumba melambaikan tangan sebagai tanda perpisahan terakhir F1 Sepang.

“SIC memberi tumpuan kepada penganjuran perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Oktober nanti,” jelasnya.

Penganjuran terakhir Ahad lalu menyaksikan kehadiran penonton seramai 110,604 orang dalam tempoh tiga hari, sekali gus melepasi jumlah yang disasarkan iaitu lebih 102,000 penonton dan daripada jumlah itu, seramai 56,015 penonton hadir pada hari perlumbaan.

Edisi ke-19 perlumbaan berprestij itu mendapat sambutan menggalakkan khususnya daripada penonton asing, berbanding peminat permotoran tempatan.